BTS Media

Keistimewaan bebas cukai Langkawi perlu dipulihkan, titah Sultan Kedah

SULTAN Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah, bertitah bahawa keistimewaan penuh bebas cukai di Langkawi wajar dipulihkan bagi memastikan pulau itu kekal berdaya saing sebagai destinasi pelancongan utama.

Baginda bertitah, langkah tersebut penting untuk merancakkan semula sektor pelancongan pulau berkenaan yang kini berdepan pelbagai cabaran, termasuk kekangan infrastruktur dan isu kebolehcapaian.

Menurut baginda, walaupun Langkawi masih mengekalkan status bebas cukai, beberapa keistimewaan yang pernah dinikmati sebelum ini telah dikurangkan, termasuk pengenaan cukai ke atas kenderaan melebihi had tertentu, duti ke atas produk berasaskan tembakau serta barangan lain.

Sehubungan itu, baginda menyeru kerajaan Persekutuan supaya mengembalikan semula status bebas cukai Langkawi dengan keistimewaan seperti yang pernah dinikmati sebelum ini.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri Kedah ke-15 di Wisma Darul Aman semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, bermula tahun ini, kerajaan menetapkan had pengecualian duti bebas cukai bagi kenderaan di Langkawi hanya untuk kenderaan bernilai RM300,000 dan ke bawah. Langkah tersebut bertujuan mengekang penyalahgunaan kemudahan bebas cukai, khususnya melibatkan pembelian kenderaan mewah, dengan kenderaan yang melebihi had itu tidak lagi menikmati pengecualian sepenuhnya.

Sementara itu, Sultan Sallehuddin turut menggesa pihak berkuasa berkaitan supaya mengkaji semula serta menambah baik sistem pengangkutan feri ke Langkawi yang kini terhad susulan peningkatan harga diesel industri.

Baginda bertitah, isu tersebut telah menyumbang kepada penurunan jumlah kedatangan pelancong, sekali gus menjejaskan pendapatan peniaga dan perniagaan di pulau berkenaan, selain menjejaskan hubungan pengangkutan bagi penduduk setempat.

Menurut baginda lagi, antara inisiatif yang boleh dipertimbangkan oleh kerajaan Persekutuan termasuk menilai semula subsidi diesel yang diberikan kepada pengendali feri di Langkawi.

Baginda turut menegaskan bahawa usaha berkenaan penting bagi memastikan potensi penuh Langkawi dapat dicapai sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi di peringkat negeri dan nasional, di samping pembangunan pesatnya sebagai destinasi pelancongan utama perlu disokong dengan infrastruktur yang mencukupi serta berdaya tahan.

-BTSMedia.my

Leave a Comment