BTS Media

Aliran trafik pada hari pertama pelaksanaan WFH sektor awam

ALIRAN trafik kekal terkawal pada hari pertama pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (WFH) bagi sektor perkhidmatan awam, walaupun terdapat pergerakan perlahan di beberapa laluan utama di Lembah Klang pada waktu puncak.

Seorang jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan kepada Bernama bahawa kesesakan mula berlaku seawal pukuull 7 pagi berikutan peningkatan jumlah kenderaan, namun keadaan secara keseluruhan masih terkawal dan tidak menunjukkan perubahan ketara berbanding hari bekerja biasa.

Menurut beliau, setakat pukul 9.20 pagi, trafik bergerak perlahan di beberapa laluan Lebuhraya Utara-Selatan termasuk dari Hospital Sungai Buloh ke Bukit Lanjan, Putra Mahkota ke Kajang, serta dari Plaza Tol Sungai Besi menuju ke pusat bandar.

Trafik perlahan dilaporkan di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dari Damansara ke Damansara Utama, selain di Lebuhraya Shah Alam (KESAS) melibatkan beberapa jajaran seperti Bukit Rimau ke Persiaran Kewajipan, SUKOM ke Awan Kecil, Awan Besar ke Kinrara, Sunway ke Persiaran Kewajipan, serta Bandar Botanik ke Pandamaran.

Selain itu, keadaan sama di Lebuhraya Hubungan Tengah Utara-Selatan (Elite) melibatkan laluan Putrajaya ke Putra Heights, USJ ke Shah Alam, Putra Heights ke Bandar Saujana Putra, Plaza Tol Putrajaya-Cyberjaya, serta Lebuhraya Grand Saga (E7) dari Bandar Tun Hussein Onn ke pusat bandar.

Keadaan trafik perlahan turut dilaporkan di Lebuhraya Sungai Besi (E9) termasuk dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ke Plaza Tol Mines Utara, Sungai Besi ke persimpangan Kuchai dan Salak Jaya, serta dari Plaza Tol Loke Yew ke Jalan Istana.

Kesesakan turut berlaku di Lebuhraya Pantai Baru (NPE) di beberapa laluan seperti Pantai Dalam ke Angkasapuri, Kuchai Lama ke Pantai Dalam, dan Sunway Pyramid ke Persiaran Kewajipan. Keadaan sama juga di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) melibatkan Puchong Utama ke Jambatan Kabel, Jalan Majlis ke Taman Megah, serta Sungai Penchala ke SS2.

Di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), trafik perlahan dari Jelatek ke Plaza Tol Datuk Keramat, manakala di Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA), kesesakan berlaku dari Kota Kemuning ke Sri Muda serta Alam Impian ke pusat bandar Shah Alam.

Trafik perlahan turut dikesan di Lebuhraya SILK arah barat melibatkan Cheras Selatan ke Taming Jaya, Balakong ke susur keluar The Mines, Bukit Kajang ke Kajang Utama, serta Sungai Ramal ke Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Selain itu, kesesakan juga berlaku di Lebuhraya Maju (MEX) dari Sri Kembangan ke Kuchai Lama serta Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dari Kajang Selatan ke Kajang Perdana.

Di Lebuhraya SPRINT pula, trafik perlahan dilaporkan antara Kayu Ara ke Damansara Utama, Penchala ke TTDI, serta Jalan Duta ke Sri Hartamas, manakala di Lebuhraya DASH, kesesakan berlaku dari Kota Damansara ke Penchala.

Trafik di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) arah selatan dilaporkan perlahan dari Greenwood ke Sentul Pasar serta Segambut ke Bamboo Hills, manakala di Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), keadaan sama berlaku antara Bukit Jelutong ke Jalan Subang.

Pelaksanaan dasar WFH bagi sektor perkhidmatan awam berkuat kuasa hari ini sebagai langkah strategik kerajaan dalam meningkatkan kesiapsiagaan negara menghadapi krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat.

-BTSMedia.my

Leave a Comment