BTS Media

Menteri Pendidikan wanita pertama Malaysia mula bertugas hari ini

Oleh Zainal AS Rashid

AHLI Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek hari ini memulakan hari pertama sebagai Menteri Pendidikan, justeru mencatatkan sejarah sebagai menteri pendidikan wanita pertama negara.

Beliau merupakan antara lima wanita dalam kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim, selain Nancy Shukri sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Azalina Othman (Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi); Hannah Yeoh sebagai Menteri Belia dan Sukan, Dr Zaliha Mustafa sebagai Menteri Kesihatan.

Sebelum ini yang pernah menjadi menteri pendidikan, termasuk Tun Abdul Razak Hussein (1955-1957), Tun Hussein Onn (1970-1973), Tun Dr Mahathir Mohammad (1974-1978), Tun Abdullah Ahmad Badawi (1984-1986), Anwar Ibrahim (1986-1991), Najib Tun Abdul Razak (1995-1999) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (2009-2015).

Fadhlina, 45, yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) merupakan bekas ahli Dewan Negara dari 2021 hingga November 2022.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) serta Sarjana Undang-Undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Fadhlina pernah bekerja sebagai peguam syarie di firma guaman Fadhlina Siddiq & Associates.

-BTS Media

Leave a Comment