GAMBAR ATAS: VOA.
SEBUAH mahkamah Honduras menjatuhkan hukuman penjara 14 tahun terhadap bekas wanita pertama negara itu, Rosa Bonilla pada Rabu atas tuduhan penipuan dan penyelewengan dana untuk tujuan program sosial, kata seorang jurucakap kehakiman.
Isteri bekas Presiden Porfirio Lobo Bonilla itu membelanjakan kira-kira 12.2 juta lempiras (ketika itu bernilai kira-kira $AS590 juta) dana yang diperuntukkan bagi kebajikan kanak-kanak keluarga berpendapatan rendah, lapor La Prensa.
Dana tersebut digunakannya untuk membayar kad kredit peribadi, yuran sekolah anak-anaknya dan membeli hartanah, kata kementerian awam negara itu.
Suami Bonilla dilantik menjadi presiden Honduras pada akhir 2009 selepas rampasan kuasa tentera yang menggulingkan Presiden Manuel Zelaya. Dia berkhidmat sehingga 2014.
Sebelum ini, pada 2017 anak lelaki mereka, Fabio Lobo, dijatuhi hukuman penjara 24 tahun oleh mahkamah di Amerika Syarikat selepas mengaku bersalah atas tuduhan bersubahat mengimport kokain ke Amerika Syarikat.
-BTS Media