KERAJAAN telah mengumumkan pengaturan kerja dari rumah (WFH) selama tiga hari bagi penjawat awam susulan krisis tenaga global yang berpunca daripada konflik yang semakin memuncak di Timur Tengah.
Menurut satu pekeliling yang dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, pengaturan tersebut terpakai kepada penjawat awam di peringkat persekutuan dan negeri, termasuk badan berkanun serta pihak berkuasa tempatan.
Pekeliling itu memaklumkan bahawa ia melibatkan penjawat awam yang bekerja di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor serta semua ibu negeri, khususnya mereka yang melakukan  jarak perjalanan melebihi 8 kilometer ke tempat kerja.
Bagi negeri yang cuti hujung minggunya pada hari Ahad, WFH akan dilaksanakan dari hari Selasa hingga Khamis, manakala bagi negeri yang cuti hujung minggunya pada hari Jumaat seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu, pelaksanaan adalah dari Isnin hingga Rabu.
Dalam pada itu, penjawat awam dalam sektor keselamatan, pertahanan, kesihatan dan pendidikan dikecualikan daripada pengaturan tersebut.
Pekeliling berkenaan turut menyatakan bahawa kerajaan bersetuju untuk melaksanakan WFH secara berperingkat sebagai langkah strategik nasional bagi meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi krisis tenaga global susulan konflik di Timur Tengah.
Selain itu, pegawai dikehendaki bekerja dari alamat kediaman berdaftar seperti yang direkodkan dalam Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) sepanjang tempoh WFH.
Sepanjang tempoh tersebut, penjawat awam juga wajib menggunakan sistem SPOT-Me bagi merekod kehadiran melalui fungsi geolokasi menggunakan peranti mudah alih dari rumah.
Pegawai perlu mendaftar masuk setiap satu jam melalui sistem tersebut, manakala ketua jabatan bertanggungjawab memantau kehadiran serta menetapkan, menyemak dan mengesahkan hasil kerja yang ditetapkan.
Pelaksanaan pengaturan ini akan dilakukan secara berperingkat.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebelum ini mengumumkan bahawa dasar WFH bagi sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan berkuat kuasa mulai 15 April sebagai langkah proaktif menangani krisis tenaga global, mengurangkan penggunaan bahan api serta memastikan kelestarian bekalan tenaga negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof, dilaporkan memaklumkan bahawa kerajaan akan memperketat kawalan penggunaan tenaga di bangunan kerajaan, termasuk menetapkan suhu penghawa dingin tidak lebih rendah daripada 24 darjah Celsius.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air menggesa penjawat awam agar memakai pakaian yang lebih sesuai dengan iklim tempatan seperti batik, kemeja korporat atau baju Melayu bagi mengurangkan kebergantungan kepada penyejukan berlebihan.
Fadillah berkata bahawa kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah penjimatan tenaga di peringkat nasional sebagai tindak balas proaktif terhadap krisis tenaga global.
-BTSMedia.my



