BTS Media

Bekas pegawai Trump gesa presiden disingkirkan segera

SEORANG bekas pegawai pentadbiran Donald Trump berkata bahawa presiden Amerika Syarikat itu wajar disingkirkan dengan segera susulan tindakan kontroversi memuat naik imej menggambarkan dirinya sebagai Nabi Isa.

Menurut laporan, pada hari Ahad, Trump telah berkongsi imej AI yang memaparkan dirinya dalam bentuk sebegitu. Tindakan tersebut mencetuskan kecaman meluas, termasuk daripada pihak yang mempersoalkan kewarasannya. Berasa panas, Trump kemudian mendakwa bahawa imej tersebut menggambarkan dirinya hanya sebagai seorang “doktor.”

Namun begitu, alasan tersebut ditolak oleh banyak pihak. Bekas setiausaha akhbar White House, Anthony Scaramucci, berkata pada hari Isnin bahawa sudah tiba masanya untuk menyingkirkan Trump daripada jawatan.

Menurut Huffington Post, Trump perlu dibuang segera sebelum memudaratkan lagi AS, dan dunia dan mengelakkan berlaku tragedi lebih teruk.

Scaramucci turut berkata bahawa Trump sama ada tidak mempercayai kenyataannya sendiri atau sedang mengalami krisis mental yang memerlukan tindakan segera.

Scaramucci, yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha akhbar Rumah Putih selama kira-kira 10 hari dalam pentadbiran pertama Trump, sering mengkritik bekas bosnya itu.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengulas mengenai istilah Sindrom Kegilaan Trump “(Trump Derangement Syndrome” – TDS) bahawa mereka yang masih menyokong Trump sebenarnya adalah pihak yang hilang akal, dan terputus daripada realiti. Kenyataan tersebut dibuat dalam satu wawancara bersama seorang personaliti CNN, Don Lemon.

Beliau juga berkata bahawa sokongan terhadap Trump dalam kalangan penderma, pembantu dan pegawai Parti Republikan tidaklah sekuat yang disangka. Scaramucci menjelaskan bahawa ramai daripada mereka tidak menyukai Trump, namun masih menyokongnya kerana faktor ketakutan terhadap pengaruh politik dan kehadiran media yang dimilikinya dan dikuasainya.

Tambah beliau lagi, puak sekeliling Trump sekarang membenci beliau, tetapi terpaksa berdepan dengan keadaan kerana bimbang terhadap kesan pengaruh dan tindak balas politik yang mungkin dihadapi.

-BTSMedia.my

Leave a Comment