PENYANYI latar legenda India, Asha Bhosle, yang suaranya mencorakkan muzik Bollywood sepanjang era 1970-an dan 1980-an, meninggal dunia pada hari Ahad di Mumbai pada usia 92 tahun.
Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Breach Candy selepas dimasukkan ke hospital akibat keletihan melampau dan jangkitan patu-paru.
Anak lelakinya, Anand Bhosle, memaklumkan kepada pemberita bahawa ibunya telah meninggal dunia dan upacara pengebumian akan diadakan pada keesokan hari di Shivaji Park, Mumbai.
Sepanjang kerjaya yang menjangkau tujuh dekad, Asha Bhosle telah merakam lebih daripada 12,000 lagu dalam pelbagai bahasa India.
Ketua Menteri Bengal Barat, Mamata Banerjee, dalam satu kenyataan berkata bahawa beliau amat berdukacita atas pemergian tokoh muzik tersebut, sambil menyifatkan Asha Bhosle sebagai penyanyi yang menginspirasikan dan memukau hati masyarakat merentasi generasi.
Dilahirkan pada 8 September 1933 dalam keluarga seni, Asha Bhosle mula menyanyi sejak kecil bersama kakaknya, Lata Mangeshkar, selepas kematian bapa mereka.
Walaupun sering dibandingkan dengan Lata Mangeshkar, yang dikenali sebagai “burung bulbul India” dan meninggal dunia pada tahun 2022, Asha Bhosle berjaya mencipta identiti tersendiri dengan meneroka pelbagai genre termasuk pop dan rakyat.
Kehidupan awalnya turut diwarnai cabaran, termasuk perkahwinan yang bergolak pada usia 16 tahun.
Beliau kemudiannya muncul sebagai antara suara paling versatil dan tersohor dalam industri perfileman India, selain menerima Anugerah Dadasaheb Phalke pada 2001 serta dua pencalonan Anugerah Grammy.
Pada usia lanjut, beliau masih aktif berkolaborasi dengan artis antarabangsa, termasuk penglibatan dalam album kumpulan maya Britain, Gorillaz, berjudul The Mountain (“Parvat”).
Selain bidang muzik, beliau turut mengembangkan minat dalam bidang kulinari dengan melancarkan rangkaian restoran “Asha’s” di Dubai dan Britain.
-BTSMedia.my



