PENULIS blog dan portal berita Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin, 74, telah meninggal dunia di Manchester, United Kingdom.
Menurut editor kedua portal berita itu, beliau meninggal dunia pada pukul 11.26 malam waktu UK pada hari Isnin 9 Sept berikutan komplikasi jangkitan darah yang menular ke bahagian buah pinggangnya.
Raja Petra pernah menjadi sekutu Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam Parti Keadillan Nasional, sebelum mengubah pendiriannya berikutan penahanan kali kedua di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dilahirkan pada 27 Sept 1950 di Surrey, England, beliau mengendalikan laman web Malaysia Today, yang menerbitkan pandangannya mengenai politik Malaysia.
Beliau pertama kali ditahan pada 11 April 2001, bersama 10 aktivis pembangkang kerana didakwa merancang untuk menggulingkan perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad.
Beliau dibebaskan 52 hari kemudian.
Pada 12 Sept 2008, beliau ditahan sekali lagi, dan dibebaskan selepas dua bulan pada 7 Nov 2008.
Beliau telah berpindah ke UK setelah dibebaskan.
Raja Petra pernah menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Victoria Institution, Kuala Lumpur.
Allahyarham mempunyai pertalian dengan kerabat diraja Selangor melalui nenek sebelah bapanya Tengku Badariah yang merupakan adik kepada Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah.
-BTS Media