BTS Media

Pelakon Jaafar Onn meninggal dunia pada usia 73 tahun

PELAKON, pelawak dan pengacara veteran, Jaafar Onn, 73, meninggal dunia di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, kira-kira pukul 11.30 pagi hari ini.

Berita itu dikongsikan, rakan artis yang rapat dengan arwah, Salwa Abd Rahman di media sosial sebentar tadi.

“Abang Jaafar Onn telah kembali ke rahmatullah baru sebentar tadi. Sekarang jenazah berada di Hospital Serdang,” tulisnya.

Beliau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang (Hospital Serdang) setelah dimasukkan ke wad kecemasan pada malam Isnin.

Terdahulu, anak angkat Jaafar, Mohd Hanif Hashim memaklumkan artis versatil itu ditahan di hospital berkenaan akibat mengalami pendarahan ketika membuang air besar.

Kesihatannya sebelum ini dilaporkan semakin merosot akibat masalah pada injap jantung dan terpaksa menggunakan kerusi roda.

Sementara itu, Bernama melaporkan berita itu juga dikongsikan rakan baik Allahyarham yang juga selebriti Haiza Hanafi di Facebook hari ini.

“Innalillahiwainailaihirojiun… Selamat Jalan Papa Jaafar Onn. Ya Allah saya saksi kebaikan yang dia lakukan.

“Ilmu yang dia curahkan dan rezeki yang dia kongsikan. Tempatkanlah dia di syurga Mu Ya Rabb… Alfatihah…,” kongsinya.

Media sebelum ini melaporkan tahap kesihatan pengacara dan pelakon veteran itu berada dalam keadaan kurang baik.

Semalam Allahyarham dilaporkan kritikal selepas mengesan darah ketika membuang air besar selain bacaan hemoglobinnya yang rendah.

-BTS Media

Leave a Comment