PELAKON veteran Badrul Muhayat dilaporkan meninggal dunia ketika dalam tidur di sebuah rumah di Pulau Pinang pagi tadi.
Menurut laporan Berita Harian, berita pemergian Badrul disahkan oleh isterinya, Norhayati Zulkapli.
“Ya, Badrul sudah tiada. Maaf, saya tidak boleh bercakap panjang kerana sedang membuat laporan di balai polis.
“Jenazah arwah akan dibawa pulang ke Johor Bahru,” katanya ringkas.
Menurut laporan itu, Badrul didapati sudah tidak sedarkan diri ketika dikejutkan isterinya dari tidur kira-kira jam 9 pagi.
Badrul atau nama sebenarnya Badrul Muhayat Ahmad Jailani, 55, dilaporkan berada di Pulau Pinang untuk menyertai satu karnival jualan.
Beliau meninggalkan dua cahaya mata, hasil perkahwinannya yang terdahulu masing-masing berusia 14 dan 16 tahun.
Badrul antara pelakon popular pada era 1990-an dan antara filem terkenal lakonannya termasuklah Harry Boy (1991), Azizah The Legend (1993), Kad Cinta (1995), Pesona Cinta (1995) dan Anaknya Sazali (2000).