BTS Media

Intel turut gantung operasi di Rusia

 

Oleh Yusoff A. Shariff

Syarikat pengeluar cip komputer dunia Intel Corp telah bertindak untuk menggantung semua perniagaannya di Rusia bermula hari ini (6 April).

Dengan itu, syarikat tersebut menyertai beberapa syarikat untuk meninggalkan Rusia berikutan serangan ke atas Ukraine.

Intel yang pada bulan lalu menggantung penghantaran kepada pelanggan di Rusia dan Belarus berkata syarikat itu telah melaksanakan langkah kesinambungan penghantaran bagi mengurangkan kesan terhadap operasi globalnya, lapor media antarabangsa.

Syarikat cip gergasi itu antara yang menyertai masyarakat antarabangsa mengecam pencerobohan Rusia di Ukraine.

Selepas presiden Rusia, Vladimir V. Putin mengarahkan serangan ke Ukraine pada 24 Februari, kebanyakan syarikat global terpaksa menilai semula hubungan dengan Rusia.

Antara syarikat yang menarik diri dari Rusia, termasuk McDonald’s PepsiCo, Shell, Philip Morris, Uniqlo, Unilever, Ikea, H &M, dan Adidas, sementara yang lain telah menggantung sebahagian besar jumlah produk pra-perang di Rusia.

-BTS Media

Leave a Comment