Oleh Zainal AS Rashid
MENURUT satu kajian baharu, kos Internet di Laos adalah yang tertinggi di Asia Tenggara, justeru meletakkan negara itu di tempat ke-72 di dunia dan nombor lapan dalam kalangan negara Asean, lapor Laotian Times.
Kedudukan Laos diperoleh daripada kajian dijalankan laman perbandingan harga cable.co.uk yang mengumpul dan menganalisis data daripada 5,292 pakej jalur lebar individu di 233 negara dalam tempoh empat bulan bermula pada Mac dan berakhir pada Jun tahun ini.
Kajian itu mendapati bahawa Israel menawarkan data mudah alih termurah di dunia, dengan kos purata AS$0.04 setiap satu gigabait (1GB). Saint Helena paling mahal, dengan harga pakej purata AS$41.06 setiap gigabait.
Negara-negara di Asia mencatatkan satu pertiga daripada 20 negara termurah untuk data mudah alih, dengan sepuluh teratas India (AS$0.17) dan Nepal (AS$0.27).
Hanya tiga negara Asia didapati menawarkan harga lebih mahal daripada purata global AS$3.12, iaitu Jepun (AS$3.85), Wilayah Lautan Hindi British (AS$5.00) dan Korea Selatan, yang paling mahal di rantau pada AS$12.55.
Di Asia Tenggara, harga data mudah alih di Thailand adalah yang termurah pada hanya AS$0.38 bagi setiap gigabait. Kemboja di tempat kedua, diikuti Malaysia dan Indonesia.
Purata Filipina adalah sebanyak AS$0.52 setiap gigabait, manakala harga di Vietnam dan Singapura harganya sama, sekitar paras AS$0.60 sen.
Laos menduduki tempat ke-8 dalam kalangan negara Asean, dengan purata kadar data mudah alih LAK 15,000 bagi setiap gigabait, bersamaan kira-kira AS$0.99 pada kadar pertukaran rasmi.
Myanmar di belakang Laos pada AS$1.11 setiap gigabait, manakala pengguna di Timor Leste dikenakan bayaran paling tinggi, dengan kos purata AS$2.16 setiap gigabait.
Dalam laporan sebelum ini, cable.co.uk  menganalisis lebih daripada satu bilion ujian kelajuan jalur lebar untuk meletakkan kedudukan 224 negara mengikut purata kelajuan Internet, dan akses dalam talian di 220 negara.
-BTS Media