BTS Media

Arab Saudi tuan rumah Sukan Musim Sejuk Asia 2029 di NEOM

GAMBAR ATAS: Projek NEOM.

 

Oleh Zainal AS Rashid

RIYADH: Arab Saudi mengumumkan pada Selasa bahawa negara itu telah berjaya dipilih untuk menjadi tuan rumah Sukan Musim Sejuk Asia 2029 di sebuah pusat peranginan gunung yang dirancang dibina bagi projek NEOM bernilai $500 bilion.

Dilabelkan sebagai projek Pembangunan Trojena, ia dijangka siap pada 2026 dan akan dilengkapi kemudahan luncur salji terbuka, tasik air buatan manusia dan rizab alam semula jadi, lapor arabnews.com.

Pada Ogos lalu, surat kepada Majlis Olimpik Asia telah merangka Wawasan Saudi 2030 yang akan menyokong Trojena sebagai tuan rumah salah satu acara sukan paling penting di Asia di mana lebih 32 negara dijangka mengambil bahagian.

Majlis Olimpik Asia telah menerima dan menyambut baik permohonan rasmi itu. Keputusan dibuat pada mesyuarat lembaga eksekutif dan perhimpunan agung majlis yang diadakan di Kemboja pada 3-4 Oktober.

Dalam satu catatan Twitter, menteri sukan Putera Abdulaziz Bin Turki Al-Faisal berkata dengan projek sukan yang mendapat sokongan penuh seluruh kepimpinan Arab Saudi dan Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman Al Saud itu, Arab Saudi mencatat sejarah sebagai negara Asia Barat pertama menjadi tuan rumah sukan musim sejuk AWG TROJENA2029.

Meluncur salji di Arab Saudi.

NEOM merupakan projek Putera Mahkota Mohammed bin Salman di bawah rancangan pembangunan Wawasan Saudi 2030 untuk mengurangkan pergantungan negara kepada sumber minyak dan mengubah ekonomi, termasuk melalui pembangunan sektor sukan.

Ia merangkumi pembangunan berteknologi tinggi seluas 26,500 kilometer persegi di Laut Merah, akan merangkumi bandar sifar karbon “The Line” serta kawasan perindustrian dan logistik.

-BTS Media

Leave a Comment