BTS Media

Ribut musnah lebih 60 rumah di tujuh kampung di Besut

Oleh Yusoff A. Shariff

LEBIH 60 rumah di tujuh kampung di Jertih, Terengganu musnah akibat ribut pada Rabu (20 Okt).

Kampung terbabit ialah Kampung Pusu Tinggi, Bukit Puteri, Dengir, Tok Has, Lay Out Tok Has, Gong Penaga dan Air Terjun, manakala sebuah sekolah, SK Bukit Puteri di Kampung Tok Has, turut terjejas dalam kejadian pukul 5.00 petang itu.

Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, bumbung beberapa rumah rosak akibat ribut yang disertai hujan lebat berlarutan hampir sejam, lapor Bernama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Pendidikan Besut Hamdhan Abd Ghafar berkata di SK Bukit Puteri, bumbung tempat letak kereta diterbangkan angin dan bumbung empat kelas rosak semasa ribut.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan kerana ribut itu berlaku selepas waktu sekolah.

“Sekolah ini beroperasi seperti biasa hari ini tetapi pelajaran untuk kelas yang terjejas akan dijalankan di dewan sekolah buat masa ini,” katanya sambil menambah kerja pembaikan perlu disiapkan pada masa sekolah dibuka semula Rabu depan (26 Okt).

-BTS Media

Leave a Comment