Oleh Yusoff A. Shariff
PENYEDIA perkhidmatan telekomunikasi diarah menambah baik liputan telefon dan capaian Internet di Kampung Lebur Jaya, Kuala Betis di Gua Musang.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata pihaknya telah membuat lawatan ke kampung itu untuk memahami dan menjelaskan isu liputan di kawasan itu kepada pengadu.
“Terdapat menara 4G sedia ada kira-kira 2.3km dari lokasi pengadu.
“Rupa muka bumi berbukit di kawasan itu menyebabkan liputan 4G yang lemah dari menara,” katanya.
Ia menambah bahawa Kampung Lebur Jaya juga telah dimasukkan dalam senarai pelaksanaan Pelan Rangkaian Digital Kebangsaan (Jendela) Fasa 2.
“SKMM telah mengarahkan penyedia perkhidmatan untuk cuba menambah baik liputan daripada menara sedia ada,” katanya, lapor Bernama.
Sebelum ini dilaporkan lebih 100 penduduk di Kampung Lebur Jaya mengalami masalah talian telefon dan akses Internet yang lemah sejak 10 tahun lalu.
-BTS Media