GAMBAR: NYT.
Oleh Yusoff A. Shariff
JIKA sebelum ini pihak berkuasa Arab Saudi mengharamkan perayaan Halloween yang meraikan aspek kengerian dan seram, terutama dalam kalangan Kristian Barat (All Hallows’ Day) atau punca asalnya sejak zaman pra-Kristian Indo-Eropah, Celtic.
Bagaimana pun, tahun ini adalah kali kedua beberapa kawasan di bandar raya ibu kota Riyadh bertukar wajah. Ia seolah-olah iblis dan syaitan yang menyerupai pelbagai bentuk ‘hantu’ telah terlepas dari rumah berhantu dan mengambil alih bandar raya itu.
Di mana-mana sahaja kelibat ‘raksasa’, ahli sihir, zombie dan macam-macam manifestasi menggerunkan dilihat berkeliaran pada malam menjelang 31 Oktober. ‘Makhluk-makhluk’ pelik ini semua juga melepak di kafe, selain berpelesiran dengan kereta untuk menakutkan orang ramai.
Perkembangan drastik yang dianggap berbahaya di negara Islam itu dianggap sebagai legasi perubahan di bawah pengaruh Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang bakal mewarisi takhta dan kini menjadi perdana menteri.
Segala perubahan ini dikatakan bermula sejak 2015 apabila beliau mula mempengaruhi pelonggaran larangan sosial satu persatu, lapor NYT.
Bagi golongan muda Arab Saudi, perkembangan ini disambut baik kerana kebanyakan mereka dipengaruhi minda dan budaya barat yang negatif, tanpa mampu melihat kepada aspek sosial lebih progresif demi masa depan negara Islam itu.
Perayaan budaya seram ini sebenarnya bukan secara terang dipanggil ‘Halloween’ di negara itu, tetapi dijenamakan sebagai ‘Hujung Minggu Seram’. Namun demikian, bagi golongan muda yang berkiblat minda dan budaya barat, ia masih diraikan sebagai pesta Halloween.
Justeru, dengan kostum menyeramkan dan air Vimto yang ‘tradisinya’ di Arab Saudi merupakan antara minuman popular pada waktu iftar Ramadan digunakan sebagai darah palsu yang dipercikkan ke tubuh, anak-anak muda Arab meraikan Halloween.
Mereka berkumpul dalam suasana perayaan luar biasa berlatarbelakangkan logo fesyen barat, Dior sambil mengunyah french fries McDonald’s.
Sambutan hangat budaya Halloween turut disambut baik oleh kalangan peniaga yang laris menjual kostum hantu dan lain-lain peralatan.
Menurut laporan NYT, di Arab Saudi sebelum ini jika sesiapa didapati meraikan acara dilarang oleh Islam, termasuk Halloween, Krismas atau Hari Valentine si pelaku boleh ditangkap, didakwa dan kenakan hukuman berat, termasuk hukuman mati.
Bukan itu sahaja, undang-undang turut melarang kaum wanita memandu kenderaan, selain sentiasa memakai abaya bagi menutup aurat.
Pada 2016, susulan pelan untuk mempelbagaikan ekonomi Arab Saudi di bawah pimpinan Putera Mohammed bagi menjadikan negara itu sebuah negara pusat pelaburan besar dan hab perniagaan global, keadaan telah banyak berubah.
Seiring perubahan itu, maka didapati kuasa dan taring pihak yang bertanggungjawab melaksanakan undang-undang Islam dalam khalayak ramai telah terhakis.
Putera Muhammed, 37, juga telah mula menganjurkan supaya sektor hiburan dijadikan alternatif kepada kebergantungan kepada hasil minyak di negara itu. Inisiatif beliau disambut baik oleh golongan muda yang dahagakan hiburan.
Justeru, panggung wayang dibuka, dan beberapa pesta anjuran kerajaan mula diadakan, termasuk “Riyadh Season” yang merupakan pesta hiburan selama sebulan yang diakhiri dengan acara konsert ‘rave’ di satu kawasan padang pasir dengan persembahan artis popular DJ Khaled dan bintang antarabangsa, Bruno Mars.
Segala perubahan ini amat memeningkan sebahagian besar penduduk konservatif Arab Saudi, dengan sesetengahnya melahirkan rasa marah terhadap apa yang berlaku di negara itu.
Sesetengah penganalisis dan pemerhati politik Arab Saudi berkata pelonggaran sekatan sosial ini disusuli pula dengan kekangan terhadap kebebasan bersuara yang kini menyaksikan beberapa ratus penulis,, aktivis, pengaruh Snapchat dipenjarakan bersama beberapa bilionair, ulama dan juga kerabat di raja.
Dalam media sosial pula, menurut NYT, kerajaan telah mengetatkan kawalan dan memanipulasi naratif untuk memberikan wajah positif kepada “Wawasan 2030” yang diterajui oleh Putera Muhammed.
-BTS Media