MALAYSIA Airlines terus menyediakan minuman beralkohol dalam penerbangan antarabangsa terpilih sebagai sebahagian usaha untuk kekal kompetitif sebagai syarikat penerbangan premium global.
Bekas pengarah urusan kumpulan Malaysia Aviation Group, Datuk Kapten Izham Ismail, berkata syarikat penerbangan itu perlu mengimbangi sensitiviti agama dengan realiti komersial, khususnya dalam memenuhi jangkaan penumpang premium antarabangsa dan rakan syarikat penerbangan global.
Beliau berkata sebagai seorang Muslim, beliau memahami bahawa dirinya tidak sepatutnya menyokong alkohol, namun pada masa sama perlu melihat kepada aspek ekonomi dan perniagaan global.
Menurutnya, keputusan itu sukar kerana Malaysia Airlines mempunyai rakan kerjasama seperti Japan Airlines, Singapore Airlines, British Airways dan American Airlines yang turut membawa pelanggan bertaraf premium.
Katanya, faktor tersebut tidak boleh diketepikan sepenuhnya.
Beliau berkata demikian dalam podcast Faculty CEO yang dikendalikan bersama bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin di UCSI University di Kuala Lumpur hari ini.
Izham berkata minuman beralkohol tidak dihidangkan secara terbuka dalam penerbangan Malaysia Airlines, sebaliknya hanya disediakan atas permintaan penumpang.
Beliau, yang bersara pada usia 65 tahun pada 31 Jan lalu, turut berkata Malaysia Airlines telah memperkenalkan beberapa penyesuaian untuk kru kabin Muslim, termasuk memberi pilihan untuk memakai hijab.
Selain itu, beliau berkata kru Amal yang sebelum ini tertumpu kepada penerbangan ke Madinah dan Jeddah kini turut ditempatkan dalam laluan antarabangsa lain termasuk ke London dan Tokyo.
-BTSMedia.my



