BTS Media

Abd Rahman dakwa pemasyhuran sebagai Undang Luak Sungai Ujong sah

BEKAS kerani dan Waris Hulu Perut Klana, Abd Rahman Limat, mendakwa pemasyhuran dirinya sebagai Undang Luak Sungai Ujong ke-11 telah disahkan oleh Lembaga Tiang Balai Waris Hulu.

Beliau dilaporkan berkata majlis pemasyhuran yang berlangsung di Telapak Tua Kampung Chedang, semalam, diadakan mengikut adat pusaka serta dipersetujui oleh Ibu Soko, Buapak dan Tiang Balai Perut Waris Hulu.

Abd Rahman berkata pemasyhuran tersebut lengkap dari segi adat kerana melibatkan lembaga adat, ibu soko dan dimasyhurkan oleh Datuk Seri Maharaja.

Beliau yang sebelum ini memegang jawatan Datuk Juan Waris Perut di Hulu Luak Sungai Ujong turut memaklumkan bahawa beliau pernah menghantar pencalonan sebagai Datuk Undang Sungai Ujong pada tahun 2004, namun tidak berjaya ketika itu.

Katanya lagi, beliau kini mencuba sekali lagi untuk kali kedua.

Terdahulu, Negeri Sembilan menjadi perhatian selepas penyandang Datuk Undang Sungai Ujong, Mubarak Thahak, dipecat daripada jawatannya dan perkara itu turut diperakui kerajaan negeri.

Mubarak bersama tiga Undang lain bagaimanapun mengisytiharkan pemecatan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, dalam kenyataan pada 20 April lalu berkata tindakan Mubarak menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Tuanku Muhriz tidak boleh diiktiraf.

Menurut beliau, Mubarak tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungai Ujong selain tindakan itu tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Pada 5 Mei lalu, sekumpulan pemimpin adat daripada keturunan Klana Hulu turut mengumumkan pelantikan Muhammad Faris Johari sebagai Undang Luak Sungai Ujong yang baharu bagi wilayah itu.

Perkembangan itu berlaku ketika Mubarak dan penyokongnya, termasuk tiga Undang lain, masih menegaskan bahawa beliau kekal sebagai Undang Sungai Ujong.

Abd Rahman turut menegaskan bahawa jawatan tersebut merupakan hak pusaka dan hanya waris mempunyai hak terhadapnya.

Beliau berkata adat tersebut mempunyai pemilik dan tidak boleh dipindahkan sewenang-wenangnya kepada pihak lain yang tidak berkaitan.

Katanya lagi, walaupun terdapat pelbagai tanggapan negatif daripada pihak yang tidak memahami adat berkenaan, beliau menegaskan bahawa dirinya adalah antara pihak yang berhak terhadap pusaka tersebut.

Susulan majlis pemasyhuran yang dihadiri lebih 500 orang semalam, Abd Rahman berkata pihaknya akan mengemukakan dokumen rasmi kepada Dewan Keadilan dan Undang (DKU), Tuanku Muhriz, Menteri Besar, penasihat undang-undang negeri serta ketua polis negeri dalam masa terdekat.

Beliau turut memaklumkan bahawa waris-waris telah dipanggil untuk menghadiri majlis tersebut selaras dengan amalan adat yang diwarisi turun-temurun.

-BTSMedia.my

Leave a Comment