DUA wakil rakyat Bersatu berkata mereka akan kekal sebagai pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan.
Ahli Dewan Undangan Negeri, Mohammad Hanifah Abu Baker (Labu) dan Ridzuan Ahmad (Gemas), berkata bahawa mereka berhasrat memainkan peranan semak dan imbang dalam persidangan DUN Negeri Sembilan.
Bagi mereka, adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk menyatakan pendirian tersebut susulan keputusan UMNO untuk terus menyokong kerajaan perpaduan negeri yang dipimpin oleh Pakatan Harapan.
Dalam kenyataan bersama pada hari Selasa (5 Mei), mereka berkata bahawa mereka juga akan memantau semua dasar serta pelaksanaan projek pembangunan di negeri itu, bagi memastikan ia dilaksanakan secara telus dan berhemah demi kepentingan rakyat Negeri Sembilan.
Sementara itu, Hanifah yang juga ketua pembangkang di DUN negeri telah mengubah pendiriannya selepas sebelum ini menyatakan beliau akan kekal berkecuali susulan kemelut politik di Negeri Sembilan.
Sebelum ini, lima wakil rakyat pembangkang dilapor menyuarakan sokongan kepada wakil rakyat Barisan Nasional daripada UMNO yang menarik balik sokongan terhadap kerajaan perpaduan negeri tersebut.
-BTSMedia.my



