SERAMAI 150,484 mangsa banjir daripada 45,014 keluarga ditempatkan di 698 pusat pemindahan sementara (PPS) di sembilan negeri setakat pukul 8 pagi hari Ahad berbanding 146,611 orang malam tadi.
Banjir menjejaskan 38 daerah di Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Johor.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, keadaan di Kelantan paling teruk dengan jumlah mangsa banjir meningkat daripada 93,158 orang malam tadi kepada 96,783 orang pagi ini membabitkan 29,940 keluarga yang berlindung di 284 PPS di 10 daerah.
Ini diikuti Terengganu dengan 41,992 mangsa daripada 11,578 keluarga di 311 PPS di lapan daerah dan 7,954 orang daripada 2,440 keluarga ditempatkan di 52 PPS di tujuh daerah Kedah.
Di Negeri Sembilan, seramai 1,925 mangsa daripada 538 keluarga ditempatkan di 13 PPS di tiga daerah, sementara di Johor, 588 orang daripada 174 keluarga masih ditempatkan di 14 PPS di dua daerah.
Di Pahang, 15 PPS di sebuah daerah menempatkan 452 mangsa daripada 146 keluarga, manakala Perlis pula merekodkan 363 orang membabitkan 113 keluarga masih berlindung di dua PPS di dua daerah.
Di Melaka, 313 orang daripada 76 keluarga ditempatkan di lima PPS di tiga daerah dan Selangor pula masih mencatatkan 114 mangsa daripada 36 keluarga berlindung di dua PPS di dua daerah.
-BTS Media