BTS Media

Banjir: 807 mangsa dipindahkan ke 11 PPS di Negeri Sembilan

Oleh Zainal AS Rashid

KEADAAN banjir di Negeri Sembilan bertambah buruk dengan 807 mangsa daripada 209 keluarga dipindahkan ke 11 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 8.00 pagi Khamis (2 Mac).

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Negeri Sembilan Lt Kol Mohd Nazri Mes Kam berkata jumlah mangsa tertinggi dilaporkan di Tampin, seramai 595 orang.

Beliau berkata lima pusat pemindahan telah dibuka di daerah tersebut, iaitu Sekolah Agama Rakyat Jelai 4, SK Gedok, SK Sg Kelamah, Dewan Komuniti Pasir Besar, dan SK Londa.

“Sejumlah 158 keluarga telah dipindahkan ke lima pusat di Tampin.

“Pusat SK Sg Kelamah kini menempatkan 524 individu daripada 135 keluarga,” katanya.

Empat pusat dibuka di Jempol yang kini menempatkan 152 individu daripada 38 keluarga, iaitu di SK Palong 1, SK Palong 7, SK Rompin dan SJKT Ladang Sialang.

Mohd Nazri berkata dua pusat pemindahan dibuka, masing-masing di Dewan Desa Dangi dan SK Pilah yang kini menempatkan 60 individu daripada 23 keluarga.

-BTS Media

Leave a Comment