SERANGAN siber yang didakwa menyasarkan laman web rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendorong suruhanjaya itu memperketat langkah keselamatan bagi melindungi sistemnya daripada sebarang pencerobohan.
Pengerusinya, Ramlan Harun, berkata SPR sedang mendapatkan laporan lengkap berhubung kejadian itu sebelum mengeluarkan kenyataan rasmi dalam masa terdekat.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di SK Kem Terendak, Sungai Udang, hari ini.
Menurut Ramlan, keselamatan laman web SPR amat penting bagi memastikan kelancaran perjalanan pilihan raya dan beliau berharap sistem tersebut kekal selamat daripada sebarang ancaman.
Katanya, SPR juga bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memperkukuh perlindungan sistem serta menghalang akses tanpa kebenaran.
Mengulas sama ada SPR akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), beliau berkata kerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan sudah pun berjalan, termasuk pelaksanaan langkah bagi melindungi sistem daripada pencerobohan.
Hari pengundian PRN Melaka ditetapkan pada hari Sabtu ini, 14 November.
-BTSMedia.my



