BTS Media

Jangan panik, bekalan makanan, ubat-ubatan mencukupi susulan ancaman serangan siber

RAKYAT diminta tidak panik atau membuat pembelian barangan keperluan secara berlebihan susulan kebimbangan terhadap kemungkinan serangan siber yang boleh menjejaskan sistem digital dan teknologi negara.

Sebaliknya, orang ramai dinasihatkan meneruskan urusan harian seperti biasa, tetapi sentiasa berwaspada terhadap sebarang perkembangan serta melaporkan segera jika mengesan pencerobohan atau gangguan mencurigakan terhadap sistem digital.

Kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan ubat-ubatan, makanan dan barangan keperluan asas berada pada tahap mencukupi. Semua kementerian, jabatan dan agensi berkaitan menjalankan pemantauan setiap hari bagi memastikan bekalan tidak terjejas.

Aspek keselamatan siber, teknologi digital dan sistem berkaitan turut dipantau rapi bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Dalam perkembangan sama, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) telah menyertai perbincangan dan penyelarasan di bawah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mesyuarat yang diadakan semalam.

Kerajaan juga belum melihat keperluan untuk mengadakan mesyuarat tergempar bagi menangani perkembangan itu, setelah mengambil kira hasil perbincangan.

Bagaimanapun, satu ketetapan dibuat supaya mesyuarat khas Jemaah Menteri boleh diadakan lebih awal sekiranya keadaan mendesak, tanpa perlu menunggu mesyuarat yang dijadualkan pada hari Jumaat.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memilih untuk memaklumkan perkembangan berkenaan secara terbuka kepada rakyat bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk akibat kekurangan maklumat.

Beliau berkata, pendekatan itu berbeza dengan sesetengah negara yang memilih untuk tidak mendedahkan perkembangan sedemikian kepada orang ramai kerana bimbang mencetuskan kebimbangan.

Menurutnya, terdapat negara yang menyaksikan peningkatan keresahan dalam kalangan penduduk sehingga ada yang mula menyimpan stok atau membeli bekalan makanan secara berlebihan.

Anwar menegaskan di Dewan Rakyat bahawa tindakan panik hanya akan melemahkan kekuatan negara dalam menghadapi sebarang ancaman.

-BTSMedia.my

Leave a Comment