Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan agar negara kembali ke bidang pertanian bagi menjamin bekalan makanan negara, kata Pengerusi MPN Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, langkah itu bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pengimportan bahan-bahan seperti makanan ternakan.
“Bukan sahaja (kembali) jadi negara pertanian, kita (MPN) bincang antara lain jaminan keselamatan makanan supaya Malaysia tidak berdepan dengan situasi cemas atau sebab kita tak sediakan bekalan makanan yang kita perlukan untuk masa sekarang.
“Tadi saya umumkan ada kenaikan dalam ranking food security tapi masih jauh sasaran untuk top 10, mestilah ada dari segi dasar tapi langkah tertentu Malaysia kena ambil untuk teroka secara agresif gunakan teknologi hasilkan bahan keperluan makanan negara dan tak bergantung dengan bahan import,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat MPN, pada Selasa.
Selain itu, Muhyiddin menjelaskan, MPN berpendapat Malaysia perlu lebih agresif untuk meneroka teknologi moden, bahan keperluan negara dan bahan yang diimport.
Beberapa kawasan pertanian perlu dimajukan semula kerana permintaan yang tinggi mutakhir ini dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan makanan import
Katanya, beberapa kawasan pertanian perlu dimajukan semula kerana permintaan yang tinggi mutakhir ini dan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan makanan import.
“Umpama sektor tanaman sayur-sayuran, kelapa dan sebagainya, sebahagiannya masih diimport. Seperti kelapa, untuk santan hampir 500 juta biji kita import, sedangkan ada kawasan tanaman kelapa. Ia hanya perlu diusahakan dan dimajukan semula kerana permintaannya meningkat kini.
“Kalau dasar ini dapat dilakukan lebih agresif dan selari dengan dasar jaminan keselamatan makanan, saya fikir kita boleh maju dalam sektor industri makanan dan pertanian,” katanya lagi.
Mengulas kenaikan harga ayam baru-baru ini, Muhyiddin menjelaskan perkara itu terjadi kerana kebergantungan terhadap bekalan bahan makanan ternakan yang diimport.
Beliau menjelaskan, situasi itu dapat dielakkan sekiranya kerajaan meneliti semula dasar import bahan makanan ternakan dan mengeluarkan bahan makanan ternakan sendiri.
“Tadi kita ada bincangkan mengenai kenaikan harga ayam. Perkara itu berlaku kerana negara ini mengimport 100 peratus makanan ternakan haiwan berkenaan.
“Disebabkan itu, ketika berlakunya masalah rantaian makanan ini di peringkat global, Malaysia berhadapan dengan masalah makanan ternakan yang meningkat berlipat kali ganda.
Mampukah negara ini keluarkan bahan makanan ternakan sendiri dan tidak bergantung 100 peratus dari luar negara?
“Antara solusi yang dibincangkan ialah mampukah negara ini keluarkan bahan makanan ternakan sendiri dan tidak bergantung 100 peratus dari luar negara.
“Kita berpendapat wajar untuk kerajaan meneliti dasar import bahan ternakan, dan negara ini berusaha supaya sebahagiannya dapat kita tampung dan tidak bergantung pada negara luar semata-mata,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, Malaysia berada pada kedudukan ke-39 dalam Global Food Security Index pada 2021, naik sembilan anak tangga berbanding tahun sebelumnya dengan bekalan lapan komoditi utama yang stabil.
“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga menjalankan tindakan intervensi yang berorientasikan pengguna, pengeluar dan perdagangan, bagi mengukuhkan sekuriti bekalan makanan negara.
“Antara intervensi jangka pendek yang diambil adalah mewujudkan stok bekalan ayam, semakan prosedur import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan semakan semula Tarif Elektrik Sektor Pertanian.
“Majlis berpendapat terdapat keperluan yang mendesak untuk memperkasakan industri input kepada makanan ternakan supaya negara mencapai tahap sara diri kos input makanan ternakan terurus dan tidak terjejas akibat faktor luaran,” katanya.