PRESIDEN Ferdinand Marcos Jr berkata puluhan ahli politik berpengaruh, tokoh perniagaan dan pengendali syarikat pembinaan yang dikaitkan dengan skandal rasuah projek kawalan banjir dijangka berdepan hukuman penjara sebelum Krismas, susulan tekanan awam dan protes jalanan.
Beliau berkata suruhanjaya penyiasatan bebas kerajaan telah memfailkan aduan jenayah melibatkan rasuah dan salah guna kuasa terhadap 37 individu, selain aduan pengelakan cukai melibatkan 86 eksekutif syarikat pembinaan serta sembilan pegawai kerajaan dengan nilai hampir 9 bilion peso.
Isu tersebut berpunca daripada pelaksanaan projek kawalan banjir yang gagal dibina, rosak atau tidak wujud walaupun peruntukan besar disalurkan.
Negara itu masih berdepan kesan dua taufan dahsyat yang mengorbankan ratusan nyawa dan menjejaskan jutaan penduduk.
Pihak berkuasa turut membekukan lebih 1,600 akaun bank, ratusan hartanah dan ratusan kenderaan bernilai sekitar 6.3 bilion peso, selain menyita beberapa kenderaan mewah milik suspek.
Kerajaan menegaskan bahawa siasatan tidak akan memilih bulu, termasuk terhadap tokoh politik yang rapat atau menentang pentadbiran.
Sebuah pusat tahanan baharu yang mampu menempatkan sehingga 800 individu juga telah disediakan untuk suspek rasuah ketika perbicaraan.
Siasatan kini tertumpu kepada hampir 10,000 projek kawalan banjir bernilai lebih 545 bilion peso sejak tahun 2022, manakala anggaran awal menyebut lebih 118 bilion peso mungkin hilang akibat penyelewengan sejak tahun lalu.
Skandal tersebut terus mencetuskan protes jalanan, termasuk demonstrasi besar yang dijadualkan bermula hujung minggu ini.
 – BTSMedia.my



