GAMBAR ATAS: Wikimedia Commons.
Oleh Yusoff A. Shariff
Lebih tiga dekad selepas kebangkitan “Kuasa Rakyat” yang menggulingkan diktator Filipina Ferdinand Marcos Sr, kini anak lelakinya nampaknya muncul sebagai pilihan utama dalam beberapa tinjauan populariti pengundi di negara itu.
Kemenangan bagi Ferdinand Marcos Jr. (Marcos Jr.) nampaknya akan membalikkan hasil kebangkitan rakyat menerusi gerakan pro-demokrasi 1986 yang menjatuhkan ayahnya sebagai presiden dan sekali gus menjunamkan reputasi beliau di mata dunia.
Ramai pemerhati berasa hairan bagaimana anak seorang diktator yang dikatakan zalim terhadap rakyat dan mencuri daripada khazanah negara diberikan sokongan membuta begitu.
Mereka menganggap segala anjakan dalam usaha mengembalikan Filipina ke persada demokrasi demi hak asasi rakyat dengan sekelip mata akan hilang sekiranya Marcos Jr. diberikan peluang untuk menjadi presiden negara itu.
Sokongan kepada beliau juga menerima kecaman beberapa pihak yang melihatnya sebagai cubaan untuk merampas balik segala harta negara dan rakyat yang telah ‘dicuri’ oleh mendiang Ferdinand Marcos Jr. sewaktu hayatnya.
Dalam pada itu, calon mana pun yang menang pilihan raya kali ini akan mewarisi pelbagai masalah berat negara, termasuk ekonomi yang teruk setelah dibadai oleh pandemik Covid-19 sejak sekian lama, kemiskinan melampau, pengangguran, hiperinflasi, harga minyak dan gas melampau, selain konflik berdarah serta perbalahan politik yang tidak berkesudahan.
Dendam kesumat dalam kalangan ahli politik seteru Presiden Rodrigo Duterte juga dilihat akan menjurus kepada pertuduhan ke atas beliau berikutan ‘perang’ terhadap sindiket dadah yang dikatakan melampau.
Marcos Jr., 64, yang merupakan gabenor sebuah wilayah, ahli kongres dan seorang senator sedang berusaha untuk menawan persada presiden, walaupun cubaan yang sama beberapa kali oleh anggota keluarga Marcos yang lain sebelum ini gagal.
Ibunya, Imelda Marcos juga pernah mencuba untuk merampas kerusi presiden melalui pilihan raya, tetapi kecundang sebanyak dua kali selepas pulang daripada pembuangan di Amerika Syarikat, di mana Marcos Jr. meninggal dunia pada 1989.
Di atas segala kezaliman dan kesalahan ayahnya itu, Marcos Jr. masih enggan menerima kenyataan dan terus tegar tidak mahu memohon maaf, walaupun status beliau sebagai ahli politik pasca pemerintahan ayahnya menyaksikan beliau mengelak daripada sebarang kontroversi peribadi, termasuk hukuman kerana mengelak cukai dan keengganan keluarga Marcos membayar cukai hartanah.
Mantera kempen pilihan raya beliau hanya berpaksi ‘perpaduan nasional’.
Beliau menafikan tuduhan membiayai kempen media sosial selama beberapa tahun menggunakan ‘tentera siber’ upahan untuk menyerang semua yang mengkritik keluarga Marcos, selain memutihkan segala kehitaman.
Selain kerusi presiden, pilihan raya Filipina akan menentukan sebanyak 18,000 jawatan dalam kerajaan, termasuk 24 kerusi senat, lebih 300 kerusi Dewan Undangan, dan juga pelbagai jawatan wilayah tempatan merentas negara yang mempunyai lebih 109 juta penduduk itu.
Pengundian pada Isnin akan mengambil masa lebih 13 jam dengan amalan ketat penjarakan sosial dan SOP Covid-19.
Sejumlah lebih 67 juta rakyat layak mengundi.
Beribu anggota polis dan tentera dikerahkan untuk menjaga keselamatan di seluruh negara.
-BTS Media