BTS Media

Ferdinand Marcos Jr menang besar dalam pilihan raya presiden Filipina

TOP PHOTO: patrickroque01, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons.

 

Oleh Zainal AS Rashid

Anak bekas diktator Filipina, mendiang Ferdinand Marcos menang besar dalam pilihan raya presiden negara itu pada Selasa (10 Mei).

Setakat waktu berita ini dilaporkan, penjumlahan awal 90% undi menunjukkan bahawa Ferdinand “Bongbong” Marcos Junior (Marcos Jr.) telah berjaya memenangi hampir 30 juta undi, iaitu lebih dua kali ganda berbanding lawannya, calon liberal Leni Robredeo, lapor media tempatan.

Anjakan positif bagi nasib keluarga Marcos sejak lebih setengah abad lalu seolah-olah menetapkan penguasaan semula ‘dinasti’ tersebut.

Pada 1986, Ferdinand Marcos dan isterinya, wanita pertama Filipina, Imelda Marcos hidup dalam buangan di Amerika Syarikat setelah digulingkan oleh rakyat dalam apa yang dilabelkan sebagai revolusi “Kuasa Rakyat”.

Menurut penganalisis politik Filipina, antara strategi kempen pilihan raya Marcos Jr. ialah dengan “memutihkan” segala rekod jenayah, kezaliman terhadap rakyat dan tindakan mencuri daripada khazanah negara sepanjang pemerintahan ayahnya, dengan cara menggunakan ratusan penulis dan “tentera siber” upahan dalam media sosial.

Sejak bertekad untuk mengembalikan persepsi kegemilangan keluarganya, Marcos Jr. telah berjaya menukar fakta sejarah yang menyaksikan pelbagai jenayah terhadap rakyat dan negara oleh Ferdinand Marcos hingga sebahagian besar rakyat melupakan segala kehitaman dan percaya bahaya segala yang didakwa beberapa dekad lalu adalah pembohongan belaka.

Aktivis hak asasi manusia, pemimpin Katolik dan penganalisis politik sebelum ini memberi amaran bahawa kemenangan Marcos Jr. menjanjikan penderitaan lebih teruk bagi rakyat Filipina yang sejak beberapa tahun ini terhimpit oleh ekonomi yang mundur, kemiskinan dan perbalahan politik yang tidak berkesudahan.

-BTS Media

Leave a Comment