Oleh Yusoff A. Shariff
TIGA Ordinan dan tiga pengisytiharan Darurat bagi penangguhan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi (Sabah), Gerik (Perak) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya (Sabah) telah dibatalkan pada Khamis (6 Okt), menurut Warta Kerajaan Persekutuan yang diterbitkan oleh Pejabat Peguam Negara.
Penangguhan pilihan raya kecil di semua kawasan berkenaan adalah berikutan pandemik Covid-19.
Perintah pembatalan itu di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) dan (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.185 Batu Sapi, Sabah; serta Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) (Pembatalan) 2022 dan Proklamasi Darurat (No. 2) (Pembatalan) 2022 bagi Parlimen P.054 Gerik, Perak.
Selain itu, Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 3) (Pembatalan) 2022) dan Proklamasi Darurat (No. 3) (Pembatalan) 2022 bagi kawasan DUNÂ N.66 Bugaya, Sabah.
Titah pembatalan itu dibuat oleh Yang diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billal Shah di Istana Negara.
Perintah pembatalan semua ordinan dan proklamasi darurat berkenaan mengikut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan dan Fasal (1) dan (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Warta Kerajaan Persekutuan itu pembatalan akan dibentangkan di Parlimen menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.
-BTS Media