BTS Media

Taufan ‘super’ Noru menuju Filipina; Filipina berjaga-jaga

TAUFAN Noru yang dianggap amat kuat akan melanda Filipina pada Ahad.

Ribut yang kini menyasarkan pulau utama Luzon yang padat penduduk, telah mengerakkan operasi pemindahan kawasan penduduk di pesisir pantai , dan di bandar raya Manila, kata pihak berkuasa.

Taufan ‘super’ Noru membawa angin berkelajuan maksimum kira-kira 195 kilometer sejam selepas “peningkatan berlipat ganda” yang tidak pernah berlaku sebelum ini, kata pihak kaji cuaca Filipina.

Juga dianggap sebagai taufan paling kuat melanda Filipina tahun ini, Noru dijangka terus meningkat kuat apabila mencecah darat di kawasan sekitar 80 kilometer ke timur laut Manila pada sebelah petang.

Ketua Polis Filipina Jeneral Rodolfo Azurin telah meminta penduduk yang tinggal di zon bahaya supaya mematuhi arahan supaya berpindah apabila perlu.

Negara pulau Filipina kerap dilanda ribut, dan saintis memberi amaran bahawa fenomena itu menjadi lebih kuat dari semasa ke semasa apabila dunia semakin panas kerana perubahan iklim.

Pengkaji cuaca berkata peningkatan mendadak kekuatan Noru tidak pernah berlaku sebelum ini, dan agensi meteorologi Filipina berkata kekuatan angin telah meningkat sebanyak 90km sejam dalam 24 jam.

Di Manila, semua agensi kecemasan telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk berdepan dengan angin amat kuat dan hujan lebat yang melanda bandar raya didiami oleh lebih 13 juta penduduk itu.

Menurut pegawai, di sesetengah kawasan berisiko tinggi di Manila, penduduk dipindahkan secara paksa.

Taufan Noru muncul sembilan bulan selepas satu lagi taufan kuat memusnahkan beberapa bahagian negara itu, mengorbankan lebih 400 orang dan menyebabkan beratus ribu penduduk kehilangan tempat tinggal.

Kekuatan angin Noru dijangka meningkat sehingga 250km sejam bila-bila masa, kata biro cuaca Filipina. Ia dijangka menjadi semakin lemah selepas melintasi pulau Luzon dan bergerak ke arah Vietnam esok (Isnin 26 Sept).

Berpuluh penerbangan telah dibatalkan, manakala sekolah dan jabatan kerajaan ditutup sementara menantikan Noru melanda.

Negara Filipina adalah antara yang paling berisiko akibat perubahan iklim.

-BTS Media

Leave a Comment