GAMBAR ATAS: Zoom Earth.
PRESIDEN Filipina Ferdinand Romualdez Marcos menggantung sesi persekolahan semua peringkat dan operasi tidak penting kerajaan di Metro Manila, termasuk di enam wilayah lain pada Selasa dan Rabu kerana risiko ribut tropika kuat Ma-on.
Selain Manila, Setiausaha Akhbar Rose Beatrix Cruz-Angeles berkata ia juga meliputi wilayah Laguna, Rizal, Bulacan, Cavite, Zambales, dan Bataan di wilayah Luzon Tengah, lapor Xinhua.
Arahan dibuat kerana risiko bahaya terhadap orang awam.
Dalam memorandum, Setiausaha Eksekutif Victor Rodriguez berkata arahan itu tidak membabitkan agensi kerajaan yang perlu bertugas menyampaikan perkhidmatan kesihatan penting dan respons bencana.
Biro cuaca negeri berkata ribut tropika Ma-on yang amat bertenaga tiba di wilayah Isabela utara Filipina pada kira-kira 10:30 pagi Selasa waktu tempatan, dengan membawa hujan dan angin kencang.
Ribut Ma-on membawa angin selaju 110 kilometer sejam yang akan meningkat sehingga 185 kilometer sejam kira-kira empat jam selepas melanda tanah besar ketika bergerak ke utara-barat laut pada kelajuan 20 kilometer sejam.
Ma-on adalah taufan tropika keenam melanda Filipina tahun ini.
Negara pulau itu secara purata mengalami 20 taufan setiap tahun, antaranya kuat dan menyebabkan banyak kemusnahan.
Pada April, ribut tropika Megi melanda Filipina, menyebabkan kejadian tanah runtuh, banjir, sekurang-kurangnya 224 orang maut dan 147 yang lain hilang.
-BTS Media