LIMA anggota penyelamat di Filipina maut apabila dihanyutkan banjir kilat akibat Taufan Noru yang melanda negara itu sejak semalam (Ahad 25 Sept).
Mereka dihanyutkan ketika menjalankan operasi di daerah San Miguel, di bahagian utara ibu kota Manila.
San Miguel antara kawasan paling teruk dilanda Taufan Noru, dengan beberapa penduduk dilihat terkandas di atas bumbung rumah mereka, manakala yang lain mencuba untuk mengharungi air yang dipenuhi sampah sarap, lapor BBC.
Taufan Noru membawa angin ribut selaju 240kph di Luzon, di mana lebih separuh daripada 110 juta penduduk negara itu tinggal.
Dipanggil “Karding” oleh penduduk tempatan, Taufan Noru mendarat sebagai sebuah “taufan super”, tetapi menjadi lemah pada pukul 8.20 malam, dan dijangka melintasi Filipina sepenuhnya hari ini (Isnin 26 Sept).
Apa yang berlaku di Filipina itu dilaporkan telah mencetuskan kesedaran dalam kalangan rakyat supaya kerajaan lebih menumpukan kepada isu perubahan iklim yang membawa pelbagai bencana alam.
Lebih 74,000 penduduk dipindahkan dari laluan taufan tersebut, dan pihak berkuasa sejak awal mengeluarkan amaran bahawa banjir serius bakal melanda beberapa bahagian bandar raya Manila.
Setakat ini belum dilaporkan seberang kerosakan serius atau peningkatan jumlah kematian.
Memandangkan Taufan Noru merupakan ribu paling kuat tahun ini, Presiden Filipina Ferdinand Marcos pada satu taklimat berkata amat jelas bahawa persiapan yang dibuat sejak dua hari lalu telah mampu mengelakkan tragedi di negara itu.
Beliau berkata bahawa keadaan masih belum reda dan semua penduduk harus terus berjaga-jaga walaupun ramai yang telah kembali ke rumah untuk melakukan kerja pembersihan.
Pada Disember 2021, sekurang-kurangnya 400 terbunuh apabila Taufan Rai melanda Filipina, manakala pada 2013 Taufan Haiyan yang merupakan ribut paling kuat dalam sejarah telah menyebabkan lebih 6,300 orang.
-BTS Media