BTS Media

Taufan Sitrang melanda Bangladesh, sembilan terbunuh, kawasan rendah tenggelam

GAMBAR ATAS: Bangladesh Today,

 

Oleh Yusoff A. Shariff

BANGLADESH dilanda taufan pada Selasa, mengakibatkan sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh, pokok tumbang, hubungan jalan raya dan bekalan elektrik terputus.

Bagaimana pun, operasi pemindahan penduduk secara besar-besaran sebelum Taufan Sitrang melanda pantai barat negara itu telah membantu mengelakkan lebih banyak nyawa yang mungkin terkorban, lapor media tempatan.

Jumlah sebenar hanya akan dapat diketahui setelah keadaan reda.

Taufan Sitrang melanda Teluk Benggala dengan membawa angin kencang sehingga 88 ksj dan gelombang setinggi tiga meter yang membanjiri kawasan rendah di kawasan pantai.

Kebanyakan mangsa yang terbunuh dihempap pokok.

Tiada kerosakan besar dilaporkan di kem pelarian yang terletak di tenggara Bangladesh, di mana lebih sejuta pelarian etnik Rohingya dari negara jiran Myanmar berada.

Pihak berkuasa telah menasihatkan hampir 32,000 pelarian Rohingya yang berlindung di sebuah pulau yang terdedah kepada banjir di Teluk Bengal supaya tidak keluar dari tempat mereka.

Taufan Sitrang turut menjejaskan wilayah Bengal Barat di India.

-BTS Media

Leave a Comment