GAMBAR ATAS: AFC.
Puluhan ribu warga Bangladesh dijangka ‘hilang’ dari kawasan sekitar, sebaliknya memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bagi menyokong pasukan mereka yang akan berdepan Harimau Malaysia, malam ini.
Perlawanan itu cukup penting bagi kedua-dua pasukan apabila Bangladesh sudah pasti mahu memastikan mereka menebus maruah dengan membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata pada saingan Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023.
Manakala Harimau Malaya yang dikendalikan Kim Pan-gon pula akan turun dengan misi mahu meraih kemenangan besar bagi menempatkan diri sebagai antara lima naib johan terbaik, sekali gus layak ke kejohanan berprestij itu.
Mengikut statistik sehingga November tahun lalu, jumlah pekerja sah dari Bangladesh seramai 326,669 orang dengan majoritinya bekerja dalam sektor perkilangan dan pembinaan.
Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya SNBJ bakal dipenuhi warga Bangladesh, malam esok, sekali gus boleh menenggelamkan sorakan tuan rumah jika penyokong Harimau Malaya tidak memenuhi stadium.
Malah, majikan di negara ini jangan terkejut dengan ‘kehilangan’ pekerja Bangladesh kerana mereka kemungkinan berada di SNBJ bagi memberi sokongan padu kepada perlawanan terbabit.
Malaysia yang menduduki tangga kedua Kumpulan E mengharapkan kemenangan dengan jaringan besar pada perlawanan esok untuk layak ke pentas Piala Asia 2023.
Ketika ini, Bahrain berada di tangga teratas kumpulan dengan enam mata diikuti Malaysia (3 mata) dan tempat ketiga Turkmenistan (3 mata) manakala Bangladesh di tangga tercorot.