Oleh Zainal AS Rashid
Acara yang dinantikan oleh ramai pemerhati politik dan rakyat akan tertumpu ke Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) di Jalan Ampang, Kuala Lumpur malam ini (Khamis 12 Mei).
Debat umum antara Anwar Ibrahim dan Najib Razak dijadualkan bermula pada pukul 9.00malam.
Kedua-dua ahli politik itu dijangka membahaskan dua topik, iaitu sama ada kerajaan perlu membantu syarikat minyak dan gas bermasalah, Sapura Energy Bhd dan isu masa depan Malaysia dari segi ekonomi, politik dan hala tuju.
Sejak pukul 6.00 petang tadi penyokong Najib dan Anwar dikatakan telah berkumpul di lokasi, yang pada mulanya dirancang diadakan di Universiti Malaya dan dianjurkan oleh Kesatuan mahasiswa Universiti Malaya .
Rancangan itu, bagaimana pun, gagal kerana pihak universiti tidak mengizinkannya.
Isu berhubung Sapura Energy Bhd mulanya menjadi hangat dalam media sosial antara Najib dan Rafizi Ramli dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Najib mahukan supaya kerajaan membantu syarikat tersebut, sementara Rafizi yang merupakan bekas Ahli Parlimen Pandan membantah.
Debat itu akan menampilkan tiga segmen, bermula dengan sama ada Sapura memerlukan bantuan kerajaan (bailout), diikuti dengan debat tentang masa depan dan hala tuju ekonomi, politik dan tadbir urus Malaysia.
Sebelum acara berakhir satu sesi soal jawab akan diadakan bagi hadirin di MATIC.
-BTS Media