GAMBAR ATAS: World Economic Forum from Cologny, Switzerland, CC BY-SA 2.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/2.0>, via Wikimedia Commons
Oleh Zainal AS Rashid
BEKAS perdana menteri Najib Razak dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak semalam dan mungkin dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) pada Selasa (13 Sep).
Peguamnya Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan perkara itu ketika ditemui media selepas prosiding perbicaraan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) berakhir hari ini.
Beliau sebelum ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa tekanan darah Najib didapati tidak stabil, dan ahli parlimen Pekan itu perlu menjalani beberapa ujian kesihatan dalam beberapa hari akan datang untuk memastikan keadaannya.
Muhammad Shafee berkata beliau tidak dapat arahan daripada Najib kerana tidak dibenarkan melawat beliau di hospital, dan oleh itu beliau memohon perbicaraan hari ini dikosongkan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Mustafa P Kunyalam tidak membantah penangguhan itu.
Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian menangguhkan prosiding ke petang esok bagi semua pihak memaklumkan mahkamah mengenai keadaan itu.
Semalam, mahkamah dimaklumkan bahawa Najib tidak sihat akibat pertukaran ubat tekanan darahnya.
Ini menyebabkan prosiding yang biasanya berlangsung sehari penuh dipendekkan kepada sesi setengah hari untuk Najib mendapatkan rawatan perubatan.
Najib, 69, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.
-BTS Media