SEBUAH firma guaman yang mewakili Christina Carolina Gerarda Johanna Verstappen, ibu kepada mendiang model Belanda Ivana Smit, telah mengeluarkan notis 48 jam menuntut kerajaan melunaskan bayaran gantirugi berjumlah RM1.1 juta.
Notis itu dikeluarkan susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 13 November yang menolak permohonan defendan untuk menangguhkan pelaksanaan penghakiman bertarikh 29 Julai.
Firma berkenaan dalam kenyataan hari ini berkata mahkamah telah mengarahkan bayaran dibuat serta-merta ke dalam akaun pemegang amanah mereka, sambil menegaskan bahawa perintah 29 Julai perlu dipatuhi sepenuhnya tanpa kompromi.
Menurut firma itu, sehingga kini tiada pengesahan, maklum balas atau bukti pembayaran diterima, dan keadaan tersebut dianggap satu bentuk ketidakpatuhan jelas yang boleh membawa kepada prosiding penghinaan mahkamah.
Firma itu memberi amaran bahawa kegagalan membuat bayaran dalam tempoh 48 jam akan mengundang tindakan undang-undang lanjut, termasuk kemungkinan prosiding penghinaan.
Kes tersebut membabitkan Verstappen sebagai plaintif, manakala Ketua Polis Negara, ASP Faizal Abdullah, menteri dalam negeri dan kerajaan Malaysia dinamakan sebagai defendan.
Dalam penghakiman bulan Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menganugerahkan RM1.1 juta kepada plaintif, iaitu RM500,000 sebagai gantirugi am dan RM600,000 gantirugi teruk dan teladan. Mahkamah turut mengarahkan kerajaan membayar kos guaman sebanyak RM8,000.
Gantirugi itu diberikan selepas mahkamah mendapati kerajaan dan polis bertanggungjawab kerana gagal menjalankan siasatan sewajarnya berhubung kematian anak Verstappen, Ivana Smit, yang berusia 18 tahun ketika ditemui mati di CapSquare Residence pada 7 Disember 2017 selepas jatuh dari unit tingkat 20.
Siasatan inkues pada 2018 mengklasifikasikan kematiannya sebagai “kemalangan”, namun Mahkamah Tinggi kemudian memutuskan ia disebabkan oleh “individu yang diketahui atau tidak diketahui”.
Kerajaan sebelum ini memohon penangguhan pelaksanaan penghakiman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan, namun permohonan itu ditolak oleh Hakim Roz Mawar Rozain pada 13 November, yang turut memerintahkan kerajaan mendepositkan jumlah berkenaan beserta faedah terkumpul ke dalam akaun amanah selewat-lewatnya hari ini.
Peguam SN Nair mewakili keluarga Smit manakala peguam kanan persekutuan Siti Aishah Ramlan mewakili kerajaan.
-BTSMedia.my



