PEMENANG Hadiah Nobel tunggal Bangladesh Muhammad Yunus akan mengetuai kerajaan peralihan negara itu susulan peletakan jawatan mengejut bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina, lapor AjansiĀ Anadolu (AA) yang memetik kenyataan rasmi pada petangĀ hariSelasa.
Keputusan yang disahkan oleh setiausaha akhbar presiden Joynal Abedin dicapai dalam satu mesyuarat yang melibatkan Presiden Mohammad Shahabuddin, ketua angkatan tentera dan pemimpin Gerakan Pelajar Antidiskriminasi Bangladesh.
Pada petang hari Selasa, 13 penyelaras gerakan itu melawat kediaman rasmi presiden untuk membincangkan situasi dan rangka kerja kerajaan sementara dengan Shahabuddin.
Kemudian, ketua angkatan tentera darat, laut dan udara turut serta.
Keputusan untuk membentuk kerajaan sementara dibuat selepas perbincangan antara Shahabuddin, penyelaras dan pemimpin tentera.
Sheikh Hasina meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan melarikan diri ke negara jiran, India pada hari Isnin. Kabinet dibubarkan sejurus selepas itu.
Berikutan peletakan jawatan perdana menteri, ketua tentera Bangladesh Jeneral Waker-Uz-Zaman mengumumkan sebuah kerajaan peralihan akan dibentuk untuk mentadbir negara.
Pada Selasa, Shahabuddin turut membubarkan parlimen negara itu.
– Bernama-Anadolu