BTS Media

Bangladesh tunggu tentera tubuh kerajaan sementara selepas Perdana Menteri melarikan diri

  • GAMBAR: Wikimedia Commons

 

PANGLIMA angkatan tentera Bangladesh akan bertemu pemimpin protes pelajar hari ini.

Pertemuan diadakan ketika negara itu menunggu pembentukan kerajaan baharu sehari selepas Perdana Menteri Sheikh Hasina meletak jawatan dan melarikan diri berikutan pemberontakan ganas terhadap kepimpinan beliau.

Hari ini menyaksikan pergerakan semula trafik di jalan raya bandar raya Dhaka, dan sekolah dibuka semula walaupun kehadiran pelajar tidak ramai setelah ditutup pada pertengahan bulan Julai kerana rusuhan.

Kira-kira 300 orang terbunuh dan beribu-ribu cedera dalam keganasan yang melanda seluruh negara.

Kilang-kilang pakaian, yang membekalkan pakaian kepada beberapa jenama terkemuka dunia dan merupakan tunjang utama ekonomi, terus ditutup hari ini dan pembukaan semula akan diumumkan kemudian, kata persatuan pengeluar pakaian utama negara itu.

Pemimpin pelajar peneraju gerakan anti-kuota yang bertukar menjadi gesaan agar Hasina meletak jawatan, hari ini berkata mereka mahu pemenang Hadiah Nobel Keamanan Muhammad Yunus dilantik sebagai ketua penasihat kerajaan sementara.

Muhammad Yunus yang berada di Paris untuk rawatan memberitahu media India, Times Now bahawa pergolakan semalam menandakan “hari pembebasan kedua bagi Bangladesh” selepas perang kemerdekaan dari Pakistan pada tahun 1971.

Beliau, bagaimanapun berkata, rakyat Bangladesh berasa amat marah dengan India kerana membenarkan pesawat yang membawa Hasina mendarat di negara tersebut setelah dia melarikan diri dari Dhaka.

Yunus berkata, “ India adalah kawan baik, tapi rakyat (Bangladesh) marah dengan negara jiran itu kerana memberi sokongan kepada pemimpin yang memusnahkan kehidupan mereka.”

Menurut Reuters, pesawat membawa Hasina mendarat di sebuah lapangan terbang tentera di Hindon, Delhi pada hari Isnin selepas meninggalkan Dhaka.

Dua pegawai kerajaan India berkata Penasihat Keselamatan Negara India Ajit Doval menyambut ketibaannya di sana, tanpa menjelaskan lebih lanjut.

-BTS Media

Leave a Comment