BTS Media

Warga Malaysia dalam skandal rasuah terburuk Tentera Laut AS melarikan diri – Laporan

GAMBAR ATAS: Majalah Rolling Stone / Wikimedia Commons.

 

SEORANG rakyat Malaysia yang berdepan hukuman penjara kerana menawarkan rasuah kepada pegawai tinggi tentera laut Amerika Syarikat sebagai imbuhan bagi mendapatkan kontrak bekalan lumayan telah melarikan diri daripada tahanan rumah di San Diego, California.

Menurut media AS, penguat kuasa undang-undang percaya Leonard Glenn Francis, yang berasal dari Pulau Pinang, dipercayai telah melarikan diri ke negara jiran, Mexico.

Dia, yang sebelum ini mengaku bersalah terlibat dalam skandal rasuah terburuk Tentera Laut AS, dilaporkan menghilangkan diri hanya tiga minggu sebelum memulakan hukuman penjara.

Francis dilaporkan ditahan dalam rumah kerana mengalami beberapa masalah kesihatan.

Timbalan Marshall AS Omar Castillo dipetik sebagai berkata Francis telah memotong gelang pemantau GPS di kakinya pada Ahad.

Ketika membuat pemeriksaan polis mendapati Francis telah melarikan diri, dan rumahnya ditinggalkan kosong.

Susulan itu, pejabat Marshall AS telah mengaktifkan Pasukan Petugas Pelarian Serantau San Diego untuk memulakan pemburuan berprofil tinggi.

Digelar “Fat Leonard”, Francis sebelum ini mengaku bersalah mendalangi penipuan terhadap Tentera Laut AS dengan mengenakan bayaran berlebihan apabila membekalkan pelbagai barangan untuk kegunaan armada kapal perang, termasuk frigat dan kapal pengangkut yang berlabuh di Singapura untuk bekalan semula.

Akhbar San Diego Union-Tribune melaporkan bahawa tiga daripada anak Francis tinggal bersamanya, tetapi tidak jelas sama ada mereka bersamanya pada hari dia didapati melarikan diri.

Dia didakwa bukan setakat membekalkan barangan keperluan, seperti minyak dan makanan tetapi dilaporkan juga membekalkan pelacur untuk kakitangan Tentera Laut AS dalam apa yang disifatkan sebagai kes yang memalukan kerajaan AS.

Perkhidmatan Penyiasatan Jenayah Tentera Laut (NCIS), yang menerajui kes besar-besaran terhadap Francis lebih sedekad lalu, turut membantu dalam usaha mencarinya.

Sementara itu, jirannya memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka melihat trak perkhidmatan pemindahan barang keluar masuk dari rumah Francis pada hari-hari sebelum dia melarikan diri, kata Castillo.

Francis ditangkap di San Diego pada 2013 dan mengaku bersalah pada 2015. Dia mengaku telah memberikan rasuah kepada beberapa pegawai tentera laut berpangkat tinggi dan menipu Tentera Laut AS sekurang-kurangnya AS$35 juta (RM147 juta pada kadar pertukaran semasa) melalui caj berlebihan ke atas perkhidmatannya.

Semasa dikurung di rumah di San Diego, Leonard dijadikan saksi bagi pihak pendakwa berhubung kes terhadap beberapa individu lain yang terlibat, termasuk pegawai tentera laut.

Pihak pendakwa raya persekutuan dilapor telah memfailkan tuduhan jenayah terhadap 33 individu berkaitan skandal “Fat Leonard” itu.

Leonard dikatakan memulakan kerjayanya merasuah pegawai tentera AS apabila dia dijemput ke perayaan hari ulang tahun kemerdekaan Amerika Syarikat yang diadakan di sebuah kedutaan negara itu di mana dia bertemu dengan pegawai tentera laut dan atase.

-BTS Media

Leave a Comment