BTS Media

Projek LCS: Mengapa Najib tidak mengendahkan aduan panglima tentera laut?

Oleh Fetty Rara

BEKAS perdana menteri Najib Razak dikecam apabila menyalahkan Pakatan Harapan kerana menangguhkan projek kapal bernilai RM9 bilion walaupun aduan yang dibuat oleh seorang bekas panglima tentera laut berhubung perkara itu tidak diendahkan.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil bertanya mengapa Najib tidak mengambil kira kebimbangan yang suarakan oleh ketua tentera laut ketika itu Abdul Aziz Jaafar mengenai projek kapal tempur pesisir (LCS).

Projek tersebut membabitkan pembinaan enam kapal kelas korvet untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Kapal pertama sepatutnya siap dan diserahkan bulan ini.

Badan pemerhati parlimen, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), berkata bahawa tidak ada satu kapal pun disiapkan walaupun kerajaan membelanjakan RM6 bilion untuk projek itu sejak 2011.

Dalam catatannya di Facebook sebagai respons kepada kenyataan Najib bahawa PH telah membekukan projek itu selepas mengambil alih kuasa pada 2018, dan projek digantung kerana pandemik Covid-19, Fahmi bertanya sama ada itu salah Pakatan.

Najib berkata projek itu hanya diteruskan semula oleh kerajaan sekarang pada April.

Fahmi, bagaimanapun, mempersoalkan mengapa tidak ada tindakan terhadap surat yang ditulis Aziz.

Dia bertanya tidakkah Najib pernah terfikir sekiranya tindakan diambil terhadap 10 surat oleh komander tentera laut itu, mungkin RM6 bilion tidak akan terbazir, dan juga mungkin tentera laut sekarang memiliki kapal tempur pesisir yang sangat diperlukan.

Pada Khamis lepas, laporan oleh PAC berkata kementerian pertahanan dan kontraktor Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) telah mengabaikan pandangan tentera laut mengenai projek itu.

Menurut laporan PAC, Aziz memberi keterangan bahawa beliau telah menulis dua surat kepada Najib, lima surat kepada menteri pertahanan, 10 surat kepada ketua setiausaha kementerian, dan masing-masing satu surat kepada ketua setiausaha perbendaharaan, dan ketua setiausaha kerajaan.

Najib berkata sebelum ini projek itu telah disiasat oleh jawatankuasa kerajaan pada 2018, ketika PH memerintah, dan oleh polis selepas BNS membuat laporan polis pada Disember 2020.

Najib juga berkata Aziz mahukan kapal yang menggunakan teknologi lama, manakala BNS mencadangkan reka bentuk yang lebih terkini.

Laporan PAC berkata TLDM pada mulanya memilih kelas Sigma rekaan Belanda, tetapi BNS telah mencadangkan kelas Gowind rekaan Perancis pada 2011 kepada menteri pertahanan ketika itu Ahmad Zahid Hamidi.

-BTS Media

Leave a Comment