NEGARA memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 beg darah setiap hari bagi menampung permintaan tinggi dalam kalangan pesakit memerlukan.
Bagaimanapun Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Pusat Darah Negara (PDN) dan Tabung Darah ketika ini berdepan kekurangan stok bekalan darah di seluruh negara dan pada masa sama permintaan dilaporkan terus meningkat.
Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai menderma darah secara berkala, sekali gus menjadikannya satu budaya hidup yang sihat.
“Saya difahamkan, setiap hari negara memerlukan sekurang-kurangnya 2,000 beg darah yang mampu menampung kegunaan kira-kira 1,000 orang pesakit.
“Di Lembah Klang sahaja, PDN memerlukan 500 hingga 600 beg darah sehari,” katanya yang menyeru semua kumpulan masyarakat membantu dengan menderma darah bukan sahaja bagi menyelamatkan nyawa pesakit tetapi secara tidak langsung meningkatkan tahap kesihatan komuniti setempat.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Blood Donation Drive di Centre Court, Mid Valley,anjuran Tan Sri Muhyiddin Charity Golf (TSMCG), di Kuala Lumpur hari ini.
-BTS Media