SEJUMLAH 596 calon akan bertanding bagi 73 kerusi DUN pada pilihan raya negeri akan datang.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ramlan Harun, berkata daripada jumlah itu, 74 ialah calon bebas, 73 daripada Parti Warisan, 72 dari Parti Impian Sabah, 55 mewakili Gabungan Rakyat Sabah, 46 daripada Sabah STAR, 45 dari Barisan, 42 daripada Perikatan Nasional, dan 40 dari Parti KDM.
Seramai 25 calon mewakili Upko, 22 dari Pakatan, 20 daripada Parti Kebangsaan Sabah, 17 calon Parti Kerjasama Anak Negeri, 16 dari Parti Perpaduan Rakyat Sabah, 14 dari Bumi Kenyalang, tujuh daripada Parti Rumpun Sabah, enam dari SAPP, lima masing-masing daripada Parti Damai Sabah dan Perjuangan Rakyat, serta tiga masing-masing daripada Pertubuhan Gemilang Anak Sabah, Parti Bangsa Malaysia dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak.
Seorang calon masing-masing turut mewakili Pejuang, Parti Bersatu Sasa Malaysia dan Perpaduan.
“Tiada kertas pencalonan ditolak,” katanya sambil memaklumkan bahawa 525 calon adalah lelaki manakala 71 wanita.
Tulid menjadi kerusi dengan jumlah calon tertinggi iaitu 14 orang, diikuti empat kerusi dengan 13 penjuru, dua kerusi dengan 12 penjuru, enam kerusi dengan 11 penjuru dan sembilan kawasan dengan saingan 10 penjuru.
Sebanyak 10 kerusi negeri mempunyai sembilan calon setiap satu, manakala lapan kawasan berdepan saingan lapan penjuru. Sepuluh kawasan menyaksikan tujuh penjuru, 13 kerusi enam penjuru, lapan kerusi lima calon dan dua kerusi empat penjuru.
Calon termuda berusia 24 tahun di Silam, manakala calon tertua ialah seorang calon berusia 86 tahun di Bingkor.
Terdapat 205 calon berusia 60 tahun ke atas, 178 berumur antara 50 hingga 59 tahun, 146 dalam lingkungan 40 hingga 49 tahun, 59 berumur 30 hingga 39 tahun, dan lapan calon berusia 29 tahun dan ke bawah.
Menurut SPR, tempoh berkempen akan berakhir pada 28 November, pukul 11.59 malam.
-BTSMedia.my



