PKR akan membincangkan kemungkinan tindakan terhadap beberapa ahli Parlimennya yang menghadiri program politik dianjurkan bekas pemimpin parti, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad semalam.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik parti esok.
Beliau berkata, tindakan terhadap semua pihak terlibat akan diteliti dan perbincangan akan dibuat bagi menentukan langkah yang bersesuaian.
Semalam, beberapa ahli Parlimen PKR menghadiri serta bergambar bersama Rafizi dan Nik Nazmi dalam satu acara yang menyaksikan kedua-dua bekas pemimpin itu mengumumkan peletakan jawatan daripada parti serta pengosongan kerusi Parlimen masing-masing.
Antara yang hadir ialah Wong Chen (Subang), Datuk Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Rodziah Ismail (Ampang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan Lee Chean Chung (Petaling Jaya).
Rafizi berkata surat pengosongan kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa akan diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, hari ini sebelum pemakluman rasmi mengenai peletakan jawatan mereka disampaikan kepada Fuziah esok.
Rafizi dan Nik Nazmi turut mengesahkan mereka akan mengambil alih Parti Bersatu Malaysia (MUP), sebuah parti yang didaftarkan pada 2 Dis 2016 di George Town, Pulau Pinang oleh pengasasnya, Tan Gin Theam.
-BTSMedia.my



