AHLI Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad akan mengumumkan haluan politik baharu mereka pada hari Ahad ini.
Rafizi, yang juga bekas Menteri Ekonomi, memaklumkan bahawa sepanjang tahun lalu, beliau dan Nik Nazmi telah mengambil masa untuk mempertimbangkan pelbagai pandangan, pertimbangan serta faktor sebelum membuat keputusan mengenai hala tuju politik mereka yang seterusnya.
Menurut kenyataan beliau hari ini, pengumuman tersebut akan dibuat dalam satu acara terbuka kepada orang ramai di PJ Performing Arts Centre, One Utama E, Bandar Utama, Petaling Jaya, bermula dari pukul 2 petang hingga 5 petang.
Beliau turut mengajak rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang yang mahu membina arus politik progresif untuk menghadiri acara berkenaan.
Pada 28 Mei tahun lalu, Nik Nazmi yang ketika itu merupakan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkuat kuasa 4 Julai.
Pengumuman itu dibuat kira-kira tiga jam selepas Rafizi memaklumkan peletakan jawatannya sebagai menteri yang berkuat kuasa pada 17 Jun.
-BTSMedia.my



