BEKAS menteri, Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad mengumumkan langkah untuk mengambil alih Parti Bersama Malaysia dalam satu majlis khas yang diadakan di Petaling Jaya hari ini.
Dalam majlis tersebut, kedua-dua mereka turut memperkenalkan logo baharu parti berkenaan iaitu seekor kancil, yang menggantikan logo lama sebelum ini. Parti Bersama Malaysia atau Malaysian United Party didaftarkan di Pulau Pinang pada tahun 2016.
Majlis itu turut dihadiri lima Ahli Parlimen PKR iaitu Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Kesavan Subramaniam (Sungai Siput) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju).
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chun, turut hadir kemudian dalam acara berkenaan.
Pada akhir ucapannya, Rafizi berkata bahawa beliau dan Nik Nazmi akan mengosongkan kerusi Parlimen masing-masing pada hari Isnin ini serta menyerahkan surat peletakan jawatan kepada PKR sebelum menyertai Bersama sebagai ahli pada hari Selasa.
Beliau turut memaklumkan bahawa pendaftaran keahlian Parti Bersama Malaysia telah dibuka menerusi laman web rasmi parti itu.
-BTSMedia.my



