Oleh Yusoff A. Shariff
PENGANALISIS percaya gelombang Perikatan Nasional (PN) akan terus ketara dalam pilihan raya negeri akan datang, terutamanya di negeri majoriti Melayu.
Kemenangan 74 kerusi parlimen oleh PN pada Pilihan Raya Umum ke-15, kini menyemarakkan lagi cakap-cakap bahawa gelombang hijau itu semakin mendapat momentum.
PAS menyumbang 49 kerusi kepada jumlah keseluruhan, dengan bakinya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya tahun ini ialah Pulau Pinang yang dikuasai Pakatan Harapan, Selangor dan Negeri Sembilan, dan Kedah yang dikuasai oleh PN, Kelantan dan Terengganu.
Pensyarah kanan Universiti Sains Malaysia Dr Azmil Mohd Tayeb percaya gelombang itu akan berterusan di Kedah, di mana gabungan PN menyapu bersih 14 daripada 15 kerusi parlimen pada PRU15, lapor The Star.
Sebilangan besar pengundi Melayu melihat PN sebagai alternatif yang lebih boleh dipercayai berbanding UMNO dan PH (termasuk DAP), terutamanya setelah kedua-duanya kini menjalinkan kerjasama.
“Saya menjangkakan Perikatan akan terus mencipta gelombang dalam pilihan raya negeri akan datang, terutamanya di kawasan kerusi majoriti Melayu.
“Sukar untuk melihat trend berbalik dalam masa terdekat kerana ia banyak bergantung kepada prestasi ekonomi kerajaan Anwar,” katanya.
Azmil menambah, taktik Perikatan telah meletakkannya sebagai alternatif yang boleh dipercayai untuk orang Melayu, walaupun dalam kalangan penyokong lama UMNO.
“Ada juga kemungkinan besar bahawa ramai penyokong Barisan Nasional dan Pakatan mungkin tidak akan bertanding dalam pilihan raya negeri, justeru memberikan kemenangan mudah kepada Perikatan.
Beliau berkata, kerajaan sekarang tidak melakukan apa-apa untuk meredakan lonjakan Perikatan, dan pilihan raya Padang Serai adalah petunjuk jelas bahawa ramai penyokong Pakatan dan Umno tidak berminat dengan kerjasama antara dua parti itu.
Menurut Azmil, kerajaan sekarang perlu menunjukkan prestasi baik dari segi ekonomi dengan menurunkan kos sara hidup, mewujudkan peluang pekerjaan, menyedia dan mengembalikan banyak subsidi kepada kumpulan B40 dan golongan muda untuk memenangi undi.
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata pada 10 Jan bahawa terdapat sokongan kuat kepada Perikatan pada PRU15, hingga membolehkan gabungan itu membuat sapuan bersih kerusi parlimen di Kelantan dan Terengganu, dan hanya kehilangan satu kerusi di Kedah.
Beliau juga yakin bahawa momentum itu akan berterusan memandangkan ketidaktentuan mengenai kerajaan perpaduan negara.
Hadi, yang juga timbalan pengerusi Perikatan, berkata perbincangan kerusi bagi enam pilihan raya negeri kini telah siap 80 peratus.
-BTS Media