Oleh Fetty Rara
PERIKATAN Nasional (PN) sedang membentuk kabinet bayangan sebagai mekanisme semak dan imbang kepada kerajaan perpaduan Pakatan Harapan (PH).
Ketua Penerangan PAS Khairil Nizam Khirudin berkata PN akan menjadi pembangkang yang membina, bekerjasama, bertanggungjawab dan setia demi kepentingan negara.
“Kami sedang dalam proses menyusun kabinet bayangan.
“Tambahan pula, kita pernah diterajui sebelum ini di bawah kerajaan PN dan kemudiannya kerajaan Keluarga Malaysia (oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).
“Saya optimis kerjasama kerajaan sekarang dan pembangkang dapat dijalinkan seperti dahulu, untuk bersama-sama menyelesaikan masalah negara dan membawa Malaysia kembali ke persada dunia.
“Saya juga yakin ‘template’ yang sama akan dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk kita mencipta kuasa yang ampuh,” katanya ketika muncul dalam program Astro Awani malam tadi.
Tambahnya, sebagai pembangkang, PN akan memainkan peranan penting dalam menggerakkan agenda transformasi Parlimen, di samping menyokong kabinet.
“Kalau ada badan atau jawatankuasa di mana pembangkang mengetuainya, kenapa tidak?
“Malah sebelum ini Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) diketuai oleh DAP,” katanya sambil menambah segala kemudahan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan bagi setiap jawatankuasa akan diperkasa oleh kerajaan, khususnya di bawah Jabatan Perdana Menteri.
PN berkata ia tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan perpaduan dan kekal sebagai pembangkang.
-BTS Media