Oleh Zainal AS Rashid
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembentukan kabinet baharu akan memakan masa, memandangkan beliau perlu mengambil kira pelbagai pandangan pihak-pihak dalam kerajaan perpaduan.
Beliau berkata, ini berbeza daripada kabinet terdahulu yang ramai anggotanya terdiri daripada ahli parti dan gabungan yang sama.
“Kerajaan perpaduan ini melibatkan banyak pihak. Oleh itu, sebelum saya membuat pengumuman, saya mesti mendengar pandangan semua orang,” katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama majlis presiden Pakatan Harapan sejak pelantikannya.
Beliau berkata selain itu, pihaknya juga perlu memikirkan cara untuk mengecilkan kabinet.
Pengerusi PH itu mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 pada Khamis, selepas hampir seminggu kebuntuan politik yang menyaksikan tiada satu pun gabungan utama memperoleh majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Bagaimanapun, empat hari selepas pelantikannya, Anwar masih belum menamakan mana-mana anggota kabinet, dan rundingan difahamkan sedang berjalan dengan parti lain, termasuk Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Difahamkan bahawa antara pertimbangan termasuk sama ada untuk melantik Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, yang sedang menjalani perbicaraan atas 47 pertuduhan rasuah, sebagai timbalan perdana menteri.
Pertimbangan pelantikan Ahmad Zahid dan mereka yang terlibat dalam kes mahkamah untuk menganggotai kabinet dibantahi oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil.
Bagi Anwar, dari sudut undang-undang hanya apabila seseorang dijatuhkan hukuman baru dia boleh dianggap bersalah, dan sebelum itu dia masih boleh dipertimbangkan.
-BTS Media