BTS Media

Rang undang-undang larang merokok akan dibincangkan oleh kabinet – Khairy

GAMBAR ATAS: Paolo Neo, Public domain, via Wikimedia Commons.

 

Oleh Fetty Rara

RANG Undang-undang Kawalan Tembakau dan Merokok akan dibawa ke mesyuarat Kabinet minggu depan untuk kelulusan sebelum dibentangkan di Parlimen, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata para menteri akan berpeluang bertukar-tukar pandangan dan membentangkan hujah mereka dan beliau juga boleh memberi penjelasan mengenai rang undang-undang itu.

Beliau berkata ini adalah langkah pertama untuk mendapatkan sokongan kabinet bagi membolehkan beliau membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen.

Menurut Khairy, jika rang undang-undang itu berjaya Malaysia akan muncul sebagai negara pertama di dunia meluluskannya sebagai undang-undang melarang merokok dan memiliki produk merokok, termasuk rokok elektronik (vape), bagi mereka yang lahir selepas 2005.

Beliau yang memberitahu media demikian hari ini di Serdang,Selangor berkata cadangan pelaksanaan peruntukan generational endgame (GEG) dalam rang undang-undang itu adalah untuk melindungi belia daripada merokok dan seterusnya ketagih produk tembakau apabila mereka meningkat dewasa.

Ia juga bertujuan untuk mengurangkan bilangan perokok di Malaysia kepada paras bawah 5 peratus menjelang 2040.

Dengan itu ia juga akan mengurangkan kematian pramatang, penyakit kronik dan kos rawatan yang terpaksa ditanggung kerajaan akibat komplikasi merokok dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata tabiat merokok di Malaysia masih tinggi pada kadar 40.5 peratus dalam kalangan lelaki dan 20 peratus bagi wanita.

Khairy berkata walaupun ramai yang mungkin tidak menyokong rang undang-undang itu kerana berpendapat ia akan menjejaskan sumber pendapatan negara dan industri pelancongan, namun kerajaan perlu menanggung kos rawatan berjumlah kira-kira RM8 bilion untuk merawat masalah kesihatan yang dikaitkan dengan merokok, jika masalah itu dibiar berterusan.

-BTS Media

Leave a Comment