BTS Media

Nilai ambang bankrap akan disemak semula, undang-undang lapuk perlu dipinda

 

Oleh Zainal AS Rashid

Kajian akan dijalankan sama ada nilai ambang muflis perlu dinaikkan.

Menurut Perdana Menteri Ismail Sabri kerajaan memandang berat bilangan kes muflis, terutama dalam kalangan belia, dan kemungkinan ia akan terus bertambah.

Ismail berkata beliau akan membincangkan perkara ini bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) bagi menyemak semula undang-undang berkenaan.

Perbincangan juga akan diadakan dengan Gabenor Bank Negara Malaysia untuk mencari pendekatan , katanya di Kuala Lumpur hari ini (Ahad 26 Jun).

Pada 2020, kerajaan telah meminda Akta Insolvensi 1967 untuk menaikkan nilai ambang pengisytiharan muflis daripada RM50,000 kepada RM100,000.

Kenaikan nilai ambang adalah bertujuan untuk mengukuhkan ekonomi, dan membolehkan individu menguruskan kedudukan kewangan mereka dengan lebih baik dalam keadaan tidak menentu berikutan pandemik Covid-19.

Pada 27 Sept 2021, Perdana Menteri mengesahkan di Parlimen bahawa seramai 10,317 individu telah diisytiharkan muflis sepanjang Mac 2020 hingga Julai tahun lepas.

Bagaimana pun, beliau berkata melihat kepada statistik Jabatan Insolvensi hingga 31 Disember 2021, terdapat sebanyak 289,766 kes sedang ditadbir (dalam proses kebankrapan).

Memandang keadaan ini beliau berkata sudah tiba masa kerajaan meminda undang-undang lapuk dan mengambil pendekatan lebih progresif dan moden.

Sebagai contoh, Ismail merujuk kepada negara-negara Eropah, termasuk Amerika Syarikat (AS), di mana undang-undang mereka membolehkan seseorang itu diisytiharkan muflis sejurus selepas penghutang melalui proses pencairan aset untuk dibayar kepada pemiutang. Ini bermakna baki hutang tertunggak tidak perlu dibayar oleh pemiutang.

Di Malaysia, bagaimana pun, undang-undang tidak memperuntukkan had tempoh seseorang yang muflis untuk keluar daripada kebankrapan melainkan setelah melunaskan semua hutang kepada pemiutang atau mendapat pelepasan ketua pengarah Jabatan Insolvensi.

-BTS Media

Leave a Comment